KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) sedang merancang dengan syarikat penerbangan dari Rusia untuk memperkenalkan semula penerbangan terus dari Malaysia ke Rusia.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan mengalu-alukan sekiranya ada syarikat penerbangan mereka yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan ke Malaysia.

“Kita sebelum ini sudah ada perbincangan dan sudah tentu akan ambil peluang pada mesyuarat ICAN kali ini untuk bincang bersama pihak penerbangan Rusia tetapi bergantung kepada syarikat penerbangan komersial Rusia itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Rundingan Penerbangan Awam (ICAN) 2024, di sini, pada Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lalu menyatakan bahawa Malaysia dan Rusia perlu merancang untuk memperkenal penerbangan terus antara kedua-dua negara bagi meningkatkan jumlah pelancong.

Malaysia menerima lebih 100,000 pelancong dari Rusia pada 2023 yang dilihat sebagai potensi besar untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu melalui penyediaan lebih banyak penerbangan.

Mengulas lanjut, Loke memberitahu, kerajaan kini berusaha mendapatkan hak trafik udara baharu dari lebih 30 negara bagi menggalakkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa memperluas operasi ke Malaysia.

Rentetan itu, kerajaan akan mengadakan rundingan perkhidmatan udara selain memperkemas serta mewujudkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dengan negara-negara terlibat.