WASHINGTON: Ribuan aktivis turun ke jalan di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS), menuntut agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan segera menjelang pilihan raya presiden dijadualkan pada Selasa, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Gelombang protes ini tercetus sebagai tindak balas terhadap kekejaman yang semakin meningkat oleh tentera penjajah Israel terhadap orang awam yang tidak berdosa di wilayah berkenaan.

Para peserta melaungkan slogan yang mengecam sokongan AS terhadap penjajahan Israel, termasuk "No votes for genocide," sebagai respons terhadap sokongan ketenteraan dan kewangan yang berterusan oleh pentadbiran AS sedia ada kepada rejim, hingga mengakibatkan lebih banyak kematian membabitkan orang awam.

Protes ini mencerminkan gerakan yang lebih meluas dalam kalangan ribuan aktivis serta komuniti Arab dan Islam yang mengumumkan boikot terhadap calon-calon dari parti Demokrat dan Republikan.

Sebaliknya, mereka menggesa sokongan kepada calon dari Parti Hijau, Jill Stein yang menentang perang di Gaza dan menyokong hak-hak Palestin.

-- BERNAMA