NORTH CAROLINA: Calon Republikan, Donald Trump lancar kempen akhir hujung minggu ini menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi meraih undi di negeri-negeri medan pertempuran sebelum pengundian pada Selasa.

Rali pusingan akhir dijalankan di Gastonia, North Carolina.

Dalam acara pertama daripada tiga acara yang dijadualkan pada hari Sabtu, Trump menyeru penyokongnya untuk “keluar dan mengundi".

"Saya datang hari ini dengan mesej harapan untuk semua rakyat AS.

"Dengan undian anda pada hari Selasa, saya akan mengakhiri inflasi, saya akan menghentikan pencerobohan sejumlah besar penjenayah yang telah masuk ke negara kita dan saya akan mengembalikan impian AS," katanya.

Trump memberitahu penyokongnya bahawa dia adalah satu-satunya calon yang boleh menyelamatkan ekonomi.

Beliau juga mengulangi mesejnya bahawa dia akan “melindungi golongan wanita".

Trump telah bercakap tentang melindungi wanita daripada penjenayah, pengganas dan musuh asing, selaras dengan gambaran suram yang dilukisnya tentang negara yang sedang merosot.