NORTH CAROLINA: Seorang Deejay memutarkan lagu di pusat mengundi di North Carolina dalam usaha mengajak orang ramai mengundi yang mana ia merupakan sebahagian daripada kempen nasional yang digelar DJs at the Polls pada Selasa.

AB Russ, yang juga dikenali @DJ_B_EASY di Instagram berkongsi video mengajak orang ramai turun mengundi serta lokasi dia dijadualkan untuk memainkan muzik sepanjang hari mengundi.

Dalam pada itu, DJs at the Polls merupakan sebuah program bertujuan untuk meningkatkan peratusan mengundi di seluruh Amerika Syarikat (AS).

Di laman web mereka, DJs at the Polls merujuk kepada kajian kawalan rawak 2022 di Philadelphia memaklumkan kadar pengundian meningkat sebanyak 3 peratus di tempat mengundi yang berlangsung persembahan Deejay.

Sementara itu, dengan hanya beberapa jam selepas rakyat AS keluar mengundi, tumpuan dunia termasuk di Malaysia, kini terarah kepada perebutan jawatan presiden antara Naib Presiden Kamala Harris dan bekas Presiden Donald Trump.

Persaingan antara Harris, 60, dan Trump, 78, telah menarik minat penonton global yang menyedari bahawa pemilihan presiden AS akan memberikan kesan besar terhadap hubungan ekonomi, keselamatan, dan diplomatik di peringkat antarabangsa.