CANBERRA: Ribuan penduduk di South Australia (SA) terputus bekalan elektrik selepas ribut petir kuat melanda negeri itu, menyebabkan kerosakan pada talian kuasa.

Lebih 130,000 sambaran petir direkodkan di seluruh South Australia pada Khamis malam ketika ribut kuat melanda seluruh negeri, membawa bersamanya hujan lebat dan angin kencang. Pada kemuncaknya antara 500 dan 1,000 sambaran petir direkodkan setiap minit, lapor Xinhua.

Lebih 20,000 isi rumah dan perniagaan terputus bekalan elektrik setakat 9 malam waktu tempatan Khamis malam. Menjelang 6 pagi Jumaat, masih berlaku 53 gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan 5,200 pelanggan.

Miriam Bradbury, ahli meteorologi kanan Biro Meteorologi berkata tiupan angin sehingga sehingga 137 km sejam direkodkan di South Australia pada Khamis.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) pada Khamis malam mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk sebahagian besar South Australia, memberi amaran kepada orang ramai mengenai keselamatan mereka dan menasihatkan mereka untuk tinggal di rumah dan menjauhi tingkap.

Akhbar tempatan The Advertiser pula melaporkan aktiviti syarikat perlombongan gergasi -- BHP di tapak Olympic Dam yang terletak kira-kira 500 km di utara Adelaide tergendala sekurang-kurangnya lima hari selepas lapan menara talian kuasa yang disambungkan ke tapak itu rosak akibat ribut.

Olympic Dam merupakan antara lombong terbesar di dunia yang mengeluarkan tembaga, emas dan uranium.

Keadaan cuaca di South Australia semakin baik pada Jumaat, dengan ribut bergerak ke timur menuju negeri Victoria.

-- BERNAMA