Menurut kenyataan akhbar dari Elysee, Macron membuat panggilan telefon kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa, yang beliau menggesa Perdana Menteri Israel untuk "menamatkan sasaran yang tidak wajar ini".
Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) merupakan elemen kredibiliti penting untuk penyelesaian krisis di selatan Lubnan, menurut Elysee, sambil menambah bahawa UNIFIL akan kekal di selatan Lubnan untuk keselamatan Israel dan Lubnan.
Perancis akan terus bekerjasama dengan pasukan itu dan bersama setiausaha agung PBB untuk melaksanakan sepenuhnya misi UNIFIL, menurut Elysee.
Dalam menyeru kepada gencatan senjata segera, Macron turut menegaskan komitmen Perancis untuk mengelakkan pertelingkahan lebih besar di seluruh rantau itu yang akan membawa akibat buruk kepada penduduk dan keselamatan antarabangsa.
Beliau turut mengecam serangan Hizbullah ke atas wilayah Israel dan serangan rambang Israel yang hanya menambah kepada jumlah korban manusia yang sudah pun tidak tertanggung, baik di Gaza mahupun Lubnan.
Macron juga menyatakan "kebimbangan yang mendalam" tentang situasi di Tebing Barat, keganasan terhadap orang awam, terutamanya oleh peneroka dan peningkatan kadar penempatan baharu.
Sejak 8 Okt 2023, Hizbullah dan tentera Israel saling berbalas tembakan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel, menimbulkan kebimbangan terhadap konflik yang lebih meluas ketika perang antara Hamas dan Israel terus memuncak di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA