Jurucakap interim UNIFIL, Andrea Tenenti bagaimanapun mengesahkan bahawa tentera pengaman akan kekal di selatan Lubnan dan memantau situasi serta melaporkannya kepada Majlis Keselamatan.
"Walaupun menghadapi cabaran yang semakin meningkat dan tuntutan IDF untuk berpindah dari kedudukan berhampiran Garis Biru, kami terus memantau dan melaporkan apa yang berlaku di lapangan, kebanyakannya melalui pemerhatian, pos, dan kedudukan kami, kerana kebanyakan rondaan telah digantung sehingga keadaan bertambah baik.
"Sejak 1 Oktober, UNIFIL telah mencatat lebih 30 insiden yang menyebabkan kerosakan pada harta atau premis PBB atau kecederaan kepada pasukan pengaman. Kira-kira 20 daripadanya dapat kami kaitkan dengan tembakan atau tindakan IDF (pasukan pertahanan Israel), dengan tujuh insiden yang jelas disengajakan," katanya.
Konflik terkini antara Israel dan Hezbollah meletus setahun lalu apabila kumpulan pejuang Lubnan itu mula melancarkan roket ke utara Israel untuk menyokong perjuangan Hamas pada permulaan perang Gaza.
Konflik semakin tegang dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan Israel mengebom selatan Lubnan, pinggir selatan Beirut dan Lembah Bekaa, membunuh ramai pemimpin utama Hezbollah, serta menghantar tentera darat merentasi sempadan.
Hezbollah pula melancarkan roket lebih dalam ke wilayah Israel.
Lebih daripada 2,700 orang telah terbunuh di Lubnan dan 1.2 juta telah dipindahkan, menurut pihak berkuasa Beirut.