ROME: Empat tentera Itali cedera, namun tidak parah, selepas pangkalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Lubnan diserang dengan tembakan roket pada Jumaat.

Pangkalan Shama terkena dua roket, yang dipercayai dilancarkan oleh Hizbullah. Satu daripada roket itu mengenai bahagian luar kubu perlindungan tanpa menyebabkan kerosakan besar pada struktur, lapor agensi berita Itali, ANSA.

Sumber tempatan memaklumkan bahawa keadaan anggota tentera itu tidak serius. Beberapa askar mengalami cedera ringan akibat serpihan kaca dan batu.

Di lokasi kejadian, kesan sekurang-kurangnya satu roket berkaliber 122 milimeter ditemukan.

Sementara itu, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni pada Jumaat meluahkan "kemarahan yang mendalam" susulan serangan terbaru ke atas pangkalan UNIFIL Itali di selatan Lubnan.

"Saya menerima berita mengenai serangan baharu terhadap markas UNIFIL Itali di selatan Lubnan, yang menyebabkan kecederaan kepada beberapa anggota kita yang sedang menjalankan misi pengaman, dengan rasa kemarahan dan kebimbangan mendalam," katanya.

Beliau turut menyampaikan solidariti dan simpati kepada anggota yang cedera, keluarga mereka, serta penghargaan kepada semua anggota kontinjen Itali di Lubnan atas usaha yang dilakukan setiap hari.

"Saya menegaskan sekali lagi bahawa serangan sebegini tidak boleh diterima dan menyeru semua pihak di lapangan untuk memastikan keselamatan anggota UNIFIL pada setiap masa serta bekerjasama bagi mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab," tambahnya.

Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto pula menyatakan bahawa kontinjen UNIFIL Itali akan terus berada di Lubnan, tetapi tidak boleh menjadi tebusan kepada kumpulan di Lubnan.

Crosetto juga menegaskan bahawa pangkalan UNIFIL tidak boleh digunakan sebagai perisai.

"Saya segera menghubungi komander kontinjen Stefano Messina, untuk memeriksa keadaan empat anggota yang cedera, dan mereka kini tidak berada dalam keadaan membimbangkan," kata Crosetto.

"Saya juga menghubungi rakan sejawat saya dari Lubnan dan menegaskan bahawa kontinjen Itali di UNIFIL berada di selatan Lubnan untuk menyediakan peluang keamanan dan tidak boleh menjadi sasaran serangan.

"Tidak dapat diterima bahawa pangkalan UNIFIL sekali lagi menjadi sasaran serangan," katanya.

Crosetto turut menyatakan hasrat untuk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel yang baharu, walaupun setakat ini usaha untuk mengatur perbincangan itu belum berjaya, bagi meminta supaya pangkalan UNIFIL tidak digunakan sebagai perisai.

Menurut laporan ANSA, empat anggota daripada Briged Sassari, yang semuanya berasal dari Sardinia cedera ringan dalam serangan itu, kini berada dalam keadaan baik.

Anggota "Sassarini" itu tidak dirawat di hospital dan telah menghubungi keluarga masing-masing untuk memaklumkan mereka selamat.

-- BERNAMA