SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menggariskan beberapa inisiatif baharu merangkumi empat bidang utama - ekonomi, keluarga, pendidikan, dan perumahan - sebagai sebahagian daripada perspektif baharu kerajaan untuk bab seterusnya dalam Kisah Singapura.

Wong yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan beberapa inisiatif semasa ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan (NDR) sulungnya pada Ahad, termasuk skim bantuan kewangan untuk pekerja yang diberhentikan, penambahan cuti bersalin bersama, dan pembangunan kawasan Kallang sebagai destinasi baharu sukan dan gaya hidup di negara ini.

"Saya percaya kita telah mencapai tahap yang mana kita semua sama ada yang muda atau tidak begitu muda, mahukan Impian Singapura yang baharu, dan kita mengambil berat terhadap rakyat kita dan saling menyokong, di mana kita berkembang dan berjaya mengikut cara kita sendiri yang kurang ditetapkan dan ditentukan.

"Merealisasikan cita-cita kita memerlukan set semula yang besar dalam dasar kita. Tetapi yang sama pentingnya ialah set semula yang besar dalam sikap kita," katanya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, set semula ini penting di tengah-tengah ketidakpastian dalam geopolitik termasuk persaingan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta gangguan teknologi yang pesat dan kesan perubahan iklim.

Mengulas lanjut, Wong berkata di bawah Skim Sokongan Pencari Kerja Kemahiran Akan Datang yang baharu, pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang kehilangan pekerjaan secara tidak sengaja akan diberikan sokongan kewangan sementara, dengan jumlah keseluruhan sehingga SG$6,000 dalam tempoh sehingga enam bulan.

Sementara itu, untuk menggalakkan rakyat Singapura melengkapkan diri dengan kemahiran baharu, semua individu berumur 40 tahun ke atas boleh mendapat manfaat daripada program "SkillsFuture Level-Up" jika mereka ingin mengambil cuti kerja untuk belajar sepenuh masa. Mereka boleh menerima elaun sehingga S$3,000 sebulan untuk tempoh 24 bulan.

"Jika anda kira jumlahnya, ia menjadikan SG$72,000 setiap orang. Jadi anda boleh merancang latihan anda dan mendapatkan suntikan kemahiran baharu apabila anda memerlukannya semasa kemajuan dalam kerjaya. Butiran lanjut akan dikongsi kemudian," katanya.

Untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra keluarga dan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura untuk memulakan keluarga, Wong berkata kerajaan akan menyediakan 10 minggu tambahan cuti bersalin bersama untuk ibu bapa dengan bayi yang baharu lahir, serta cuti paterniti mandatori bermula 1 April 2025 untuk bapa.

Ibu-ibu sudah menikmati 16 minggu cuti bersalin. Secara keseluruhan, ibu bapa boleh menikmati cuti bersalin berbayar kerajaan sehingga 30 minggu menjelang 1 April 2026.

Sementara itu, di bawah Pelan Induk Kalang Alive, Sekolah Sukan Singapura akan memindahkan kampusnya dari Woodlands ke kawasan itu, penubuhan kemudahan sains sukan dan perubatan sukan baharu, selain sebuah arena tertutup baharu dengan kapasiti 18,000 orang yang telah diumumkan awal tahun ini.

Wong berkata untuk mencapai semua ini, beliau memerlukan sokongan semua rakyat Singapura dan bergerak maju bersama-sama dalam perpaduan.

"Rakyat Singapura sekalian, impian anda, memberi inspirasi kepada tindakan saya. Saya memohon sokongan anda semasa kita memulakan perjalanan ini. Kita mempunyai banyak tugas untuk dilakukan dan agenda yang penuh di hadapan. Marilah kita berganding bahu dan bersatu hati serta merintis jalan ke hadapan bersama-sama," katanya.

NDR, yang diadakan sempena Hari Kebangsaan Singapura, adalah acara tahunan di mana perdana menteri akan menggariskan dasar dan hala tuju negara.

-- BERNAMA