Wong berkata, beliau dan Sultan Nazrin mengadakan perbincangan yang meluas mengenai perkembangan global, masa depan ASEAN dan hubungan Singapura-Malaysia.
"Gembira dapat bertemu kembali dengan baginda sejak pertemuan terakhir kami pada 2022. Sebagai jiran rapat, Singapura dan Malaysia, termasuk Perak, berkongsi hubungan yang erat antara rakyat kedua-dua negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook, sambil menambah bahawa mendiang bapanya menghabiskan masa kecilnya di Ipoh, ibu negeri Perak, sebelum berpindah ke Singapura.
Wong sebelum ini pernah berkongsi bahawa bapanya, yang meninggal dunia pada 2021 menamatkan pendidikan menengahnya di Ipoh.
Perdana Menteri turut menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Sultan Nazrin dalam usaha memperkukuh hubungan antara rakyat di kedua-dua negara.
Turut hadir Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, antara lain. - BERNAMA