NEW YORK: Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk proses keamanan Asia Barat memberi amaran kepada Majlis Keselamatan, peningkatan konflik di rantau itu khususnya antara Israel dan Hezbollah akan membawa kepada malapetaka.

Tor Wennesland berkata, peningkatan ketenteraan hanya akan menjamin lebih banyak penderitaan dan kemusnahan kepada masyarakat di Lubnan serta Israel.

Tambah beliau, ini turut mempunyai lebih banyak akibat yang berpotensi membawa malapetaka bagi wilayah itu.

“Permusuhan yang berterusan di Gaza menyemarakkan lagi ketidakstabilan serantau.

"Mesti ada pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan gencatan senjata kemanusiaan serta-merta.

"Ada perjanjian di atas meja dan ia harus dipersetujui dengan pantas,” katanya.

Justeru beliau menggesa semua pihak mengambil langkah segera untuk meredakan keadaan.

Wennesland juga menggesa Israel dan Hamas untuk menerima perjanjian gencatan senjata terbaharu dan menggesa pembebasan segera semua tebusan.

Hezbollah, yang disokong Iran, mula menyerang Israel hampir sejurus selepas serangan rentas sempadan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang di Gaza.

Israel dan Hezbollah telah bertukar-tukar serangan hampir setiap hari sejak itu, menyebabkan puluhan ribu orang berpindah di kedua-dua belah sempadan.

Pertempuran semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan perang besar-besaran.