KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Pau Marti Vicente berpuas hati dengan persembahan Harimau Malaya namun kecewa dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap 1 menentang India di Stadium Gachibowli, Hyderabad malam tadi.

Vicente mengakui, perlawanan itu merupakan ujian penting untuk skuadnya menjelang Kejohanan ASEAN 2024.

"Saya rasa permainan ini agak sengit, pada separuh masa pertama kami bergelut sedikit untuk mencari rentak namun pada separuh masa kedua kami bertambah baik sedikit. Secara keseluruhan, saya fikir keputusan itu agak wajar tetapi mungkin kami terlepas beberapa peluang pada penghujung permainan, agak kecewa tentang perkara itu tetapi kami gembira dengan permainan (ditampilkan).

"Menentang pasukan seperti India, ini ialah keputusan yang baik. Sudah tentu kami mahu memenangi setiap perlawanan tetapi keputusan ini menunjukkan kami boleh bersaing pada tahap ini. Mungkin lain kali, dengan sedikit nasib dan ketepatan, kami memperoleh kemenangan," katanya pada sidang media selepas perlawanan selepas undian, malam tadi.

Skuad Harimau Malaya, yang berdepan kontroversi pelepasan tiga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum perlawanan itu, mendahului menerusi penyerang naturalisasi Paulo Josue yang memanfaatkan kesilapan penjaga gol India, Gurpreet Singh Sandhu pada minit ke-19.

India, di bawah bimbingan Manolo Marquez menyamakan kedudukan apabila Rahul Bheke menanduk masuk sepakan sudut yang dihantar Brandon Fernandes pada minit ke-38.

Keputusan malam tadi menyaksikan Malaysia berjaya menyekat misi The Blue Tigers untuk membalas dendam selepas tewas 2-4 dalam aksi Pestabola Merdeka 2023, di sini.

Untuk rekod, Vicente melakukan tujuh pertukaran dalam pasukan pertamanya berbanding ketika mereka menewaskan Laos 3-1 dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tahap 1 di Bangkok, Khamis lepas, dalam persiapan akhir mereka untuk Kejohanan ASEAN yang dijadualkan bermula bulan depan.

Malaysia, juara 2010 yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan kempen menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 Dis, diikuti Timor-Leste di sini (11 Dis) sebelum berdepan juara bertahan Thailand di Bangkok (14 Dis) dan Singapura di sini pada Dis 20.

Ditanya mengenai topik pemain naturalisasi dalam skuadnya, Vicente tidak mahu memperbesarkan isu berkenaan sambil menekankan bahawa landskap bola sepak antarabangsa semakin berkembang.

"Pada masa kini setiap pasukan kebangsaan mempunyai pemain daripada keturunan atau asal-usul berbeza. Ia menjadi perkara biasa. Dalam kes di Malaysia ini, peraturan menyatakan bahawa selepas lima tahun tinggal di sana (Malaysia), anda boleh menjadi rakyat Malaysia. Pemain-pemain ini telah lama tinggal di sana dan mereka mempunyai hak untuk mewakili negara.

"Inilah realiti dalam bola sepak hari ini. Individu berpindah, menukar negara, dan ini akan menjadi semakin biasa dalam hampir semua pasukan kebangsaan," kata jurulatih Sepanyol berusia 41 tahun itu. - BERNAMA