SEREMBAN: Seorang lelaki warga Singapura yang merupakan pengasas Kumpulan Cahaya dipenjara enam bulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa atas tiga pertuduhan mengajar dan menyebar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak, tahun lalu.

Hakim, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Idris Ami, 60, yang bekerja sebagai pemandu forklift selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dihadapi.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didapati telah menyebarkan sesuatu perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan orang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya dengan membenarkan berpelukan walaupun berbeza jantina dan bukan mahram.

Ini atas dasar kepercayaan bahawa tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan itu berlandaskan kecintaan hati bukan keinginan jasad dan nafsu.

Selain itu, Idris telah menukar pengakuan kepada bersalah bagi dua pertuduhan yang telah dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 4 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, Idris didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya utusan iaitu Rasul bagi zaman ini serta mendakwa di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad.

Kesalahan itu dilakukan Sejak September hingga Disember 2023 di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Idris yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah telah insaf dan merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana mahu pulang ke negara asalnya selain perlu masih menanggung anak dan isteri.

"Saya adalah rakyat warga Singapura yang tidak tahu menahu hukum pelanggaran syarak di negara ini.

"Saya menghormati rakyat dan negara Malaysia, namun saya mengaku salah dan menyesal atas kesilapan ini yang tidak disengajakan," katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dari segi akidah yang boleh membawa kepada murtad, kufur dan syirik.

Mahkamah menetapkan denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan turut memerintahkan hukuman penjara tambahan dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal menjelaskannya.

Ujarnya, tertuduh sebagai warga asing sepatutnya menghormati undang-undang di Malaysia dan hukuman tegas serta sewajarnya harus diberikan sebagai pengajaran.

Pihak pendakwaan turut diwakili Pendakwa Syarie, Abdul Wafi Ramli dan Mohd Azizuddin Abdullah Halim.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati aktif menyampaikan dakyahnya melalui beberapa platform media sosial antaranya Facebook dan Telegram untuk pengikutnya di Malaysia dan Indonesia.

Tertuduh juga didapati sering kali mempamerkan peribadi yang tidak sejajar dengan hukum syarak kepada para pengikutnya apabila sewenang-wenangnya memeluk para ahlinya yang bukan mahram sebagai simbol pertemuan dan perpisahan setiap kali perjumpaan.

Pada 4 Oktober lalu, media melaporkan Idris sebagai pengasas Kumpulan Cahaya mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

Malah, ahli atau pengikut ajaran dikatakan suci dengan penyatuan cahaya dan tidak bernafsu, menyebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. -- Sinar Harian