INDIA setakat ini sudah mencatatkan 3.7 juta kes positif COVID-19 dengan lebih 65,000 kes kematian.

Negara itu turut melaporkan kenaikan jumlah kes harian tertinggi di dunia untuk tempoh hampir tiga minggu dan dijangka melepasi Brazil serta Amerika Syarikat.

Walaupun pelaksanaan ujian saringan dilakukan secara besar-besaran, kurang kesedaran menjadi antara punca lonjakan kes di negara itu.

Menurut salah seorang rakyat India, Shaurya Verma, peningkatan kes secara mendadak itu berlaku akibat daripada kurang rasa prihatin.

“Ini (peningkatan kes) terjadi kerana kurangnya keprihatinan orang awam terhadap penyakit ini, virus ini.

“Dan orang ramai tidak mengamalkan tindakan pencegahan seperti yang disarankan oleh pemerintah. Kebanyakan mereka masih berkeliaran di sana-sini tanpa memakai pelitup muka,” jelasnya.

Ketika tempoh perintah berkurung dilaksanakan, pergerakan orang ramai sangat terhad dengan rondaan polis dilakukan setiap masa.

Bagaimanapun situasi ketika ini menggambarkan, kebanyakan rakyat tidak mengamalkan langkah pencegahan COVID-19.

Pemakaian pelitup muka tidak lagi menjadi pelindung utama, atau hanya sekadar diletakkan di bahagian dagu dengan orang ramai kelihatan keluar rumah tanpa menghiraukan penjarakan fizikal.