Instagram pada Isnin mengumumkan peletakan jawatan pengasas bersama laman media sosial itu.

Kedua-dua mereka, Kevin Systrom dan Mike Krieger, masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknikal syarikat aplikasi perkongsian gambar itu.

Peletakan jawatan berkenaan berlaku hanya dalam beberapa bulan selepas pengunduran pengasas bersama Whatsapp, Jan Koum.

Ini menyebabkan laman sosial Facebook, yang juga pemilik Whatsapp, kini beroperasi tanpa tunggak utama mereka.

Kenyataan yang dikeluarkan Systrom di blognya.

Ia berlaku ketika Facebook berdepan kecaman berhubung kawalan keselamatan data pelanggan mereka dan cubaan menangkis penyebaran maklumat palsu, selain kecenderungan pengguna muda untuk menggunakan kaedah alternatif bagi berhubung dengan keluarga atau rakan-rakan.

Kebimbangan mengenai semua perkara itu turut menyebabkan keuntungan syarikat Facebook merudum dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat pada Julai lalu.

Systrom dalam entri terbaru di blog miliknya pada Isnin berkata, beliau dan Krieger merancang untuk berehat seketika bagi ‘menyelami daya kreativiti masing-masing sekali lagi’.


Kenyataan yang dikeluarkan Systrom di blognya.

Pengumuman peletakan jawatan dua individu berpengaruh syarikat berkenaan dibuat selepas perselisihan faham bersama Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg semakin kerap berlaku, membabitkan hala tuju Instagram.

Dalam satu kenyataan, Zuckerberg menyifatkan dua individu berkenaan sebagai ‘ketua produk yang amat luar biasa’.

“Saya banyak belajar daripada mereka berdua sejak enam tahun lalu dan ia satu pengalaman menyeronokkan. Saya mengucapkan selamat berjaya dan tidak sabar menunggu produk terbaru mereka selepas ini,” kata Zuckerberg.