KUALA LUMPUR: Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seung-bae, pada Selasa memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Jeju Air yang meletup dan terbakar selepas merempuh tembok konkrit Ahad lepas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, kira-kira 290 kilometer ke barat daya ibu kota Seoul.

Kedutaan Korea di Malaysia melalui hantaran di Facebook memuat naik gambar Yeo mengunjungi altar peringatan bersama yang diletakkan di K-Lounge, Persatuan Korea di Malaysia, di sini.

"Pada 31 Disember (Selasa), Duta Yeo Seung-bae telah melawat altar peringatan bersama yang diletakkan di K-Lounge, Persatuan Korea di Malaysia, bagi memberi penghormatan kepada mangsa nahas pesawat Jeju Air," menurut hantaran itu.

Altar peringatan itu, disediakan oleh Persatuan Korea di Malaysia untuk memperingati mangsa nahas Jeju Air, akan dibuka kepada orang awam di premis persatuan itu di Plaza Mont Kiara mulai 31 Disember hingga 3 Januari.

Altar berkenaan boleh dilawati setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang, dengan para pengunjung digalakkan untuk bertafakur, meletakkan jambangan bunga, serta menandatangani buku tetamu.

Pesawat malang itu membawa 175 penumpang termasuk 173 rakyat Korea Selatan dan dua warga Thailand, serta enam kru penerbangan. Ia terhempas ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada pukul 9.07 pagi waktu tempatan, Ahad lepas.

Nahas itu meragut nyawa 179 daripada 181 orang di dalam pesawat berkenaan.

-- BERNAMA