IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengutip hasil sebanyak RM2.36 juta bagi nombor pendaftaran kenderaan siri 'ANU' sepanjang lima hari dibuka untuk bidaan.

Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan berkata bidaan dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 19 hingga 23 Dis lepas menerusi notis awam yang dikeluarkan.

"Sepanjang tempoh lima hari itu juga merekodkan lebih 1,768 pembida daripada 1.99 juta pembida berdaftar seluruh negara. Harga bidaan tertinggi ialah RM269,000 untuk 'ANU 1'," katanya pada sidang media selepas Op Ambang Tahun Baharu 2025 di Persiaran Meru Raya 3 di sini malam ini.

Beliau berkata baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum ditetapkan.

Setakat ini, katanya nombor plat 'AMG' khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG masih berada di kedudukan pertama jualan plat JPJ Perak.

"Sebelum ini 'AMG' mencatatkan jualan keseluruhan lebih daripada RM6 juta dan ke atas dan masih memegang rekod tertinggi nombor popular dibida," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan 'ejen kosmetik' seperti 'sewa tayar' untuk meluluskan kenderaan mereka dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang tular, beliau menyifatkan penggunaan khidmat sewa tayar sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan berisiko tinggi.

"Lapor kepada pihak berkuasa jika ada pihak yang melakukan perkara sedemikian kerana ia jelas mampu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan," katanya.

Mohammad Yusoff berkata pihaknya sendiri melihat tawaran berkenaan menerusi laman Facebook dan akan meneliti berkaitan perkara itu kerana ia melibatkan isu teknikal dan tindakan sesuai yang boleh diambil.

-- BERNAMA