KUALA LUMPUR: Pembiayaan untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak terhad kepada bantuan kewangan sahaja, tetapi juga sokongan terhadap perkembangan perniagaan.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, ini termasuklah sokongan dalam aspek penyesuaian perniagaan dengan proses pendigitalan, yang dilihat menjadi cabaran utama dalam kalangan usahawan PKS.

Jelas beliau, BSN memberikan khidmat nasihat dan bimbingan serta program latihan yang berkala bagi memastikan pelanggan mereka mempunyai pengetahuan yang diperlukan tentang dunia digital, selain dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam menguruskan perniagaan dan kewangan.

“Kami juga sangat mementingkan aspek pembangunan pengusaha mikro dan seterusnya adaptasi digital untuk memastikan mereka ini dilengkapi dengan semua pengetahuan yang ada untuk mereka berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.

Katanya, sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan, BSN sentiasa komited dalam menyokong apa sahaja usaha kerajaan dan memperkasakan usahawan mikro, termasuk dengan pengenalan sembilan Skim Pembiayaan Mikro Madani iaitu Madani Belia, Madani Nita, Madani Bakti (untuk veteran), Madani Sinar (untuk OKU), Madani MulaNiaga, Madani Penjaja, Madani Industri Desa, Madani GIG dan Madani Umum.

Kesemua skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 dengan kadar keuntungan serendah 4 peratus sepanjang lima tahun tempoh pembiayaan, malah BSN turut menawarkan kelulusan yang pantas dan tanpa cagaran, dengan hanya mengemukakan beberapa dokumen sahaja.

Seiring dengan perkembangan dunia digital yang semakin berkembang pesat, sebanyak 3,197 perusahaan mikro juga telah beralih ke arah pendigitalan menerusi skim pembiayaan yang ditawarkan BSN, termasuk pendaftaran perusahaan mikro ke platform digital iaitu Mesinkira, Borong dan juga membina laman sesawang perniagaan sendiri melalui MyNic.

“Apa cara terbaik untuk melakukan pemasaran digital? Kalau (tak ada pengetahuan), mereka pergi ke Facebook, Instagram dan sebagainya, promosikan sahaja produk. Mereka tidak tahu cara terbaik, mungkin itu kekurangan mereka.

“Jadi sebab itu kami bekerjasama dengan beberapa agensi untuk memastikan mereka diberi pendedahan sebaik mungkin  dalam menggunakan saluran digital bagi mempromosikan produk mereka,” ujarnya.

Tambahnya, setiap inisiatif yang dilaksanakan BSN berpaksikan kepada misi untuk meningkatkan taraf perniagaan usahawan PKS di Malaysia ke tahap yang membanggakan, sekali gus menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

Komuniti usahawan mikro boleh mendapatkan bantuan akses berhubung pembiayaan mikro ini melalui 130 Eksekutif Pembiayaan Perniagaan BSN di kesemua 387 cawangan BSN di seluruh negara.

Selain itu, para pelanggan yang berminat juga boleh membuat permohonan secara dalam talian iaitu melalui laman sesawang BSN di www.bsn.com.my dengan mengisi borang dan memuat naik dokumen sokongan untuk permohonan.