WASHINGTON DC: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyuarakan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan menggesa pihak berkuasa Israel membenarkan penghantaran bantuan ke wilayah itu.


Ringkasan AI
  • PBB bimbang mengenai situasi kemanusiaan di Gaza dan mendesak Israel membenarkan bantuan masuk.
  • Banyak misi bantuan kemanusiaan terhalang dan akses kepada keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, air, dan kesihatan sangat terhad.
  • Sejak Oktober lalu, lebih 37,350 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 85,400 cedera di Gaza.


"Operasi kemanusiaan di Gaza mesti dipermudahkan sepenuhnya dan semua halangan mesti ditarik balik," kata timbalan jurucakap Farhan Haq kepada pemberita, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Palestin (WAFA).

Haq menekankan bahawa kekangan akses terus menjejaskan penghantaran bantuan dan perkhidmatan kemanusiaan di seluruh Gaza.

Menurut beliau, antara 1 hingga 18 Jun, daripada 61 misi bantuan kemanusiaan yang diselaraskan ke utara Gaza, 28 telah difasilitasi oleh pihak berkuasa Israel, lapan telah dinafi akses, 16 dihalang dan sembilan dibatalkan atas sebab logistik, operasi atau keselamatan.

Beliau berkata beratus-ratus ribu orang yang kehilangan tempat tinggal di selatan Gaza menghadapi masalah akses kepada tempat perlindungan, kesihatan, makanan, air dan sanitasi.

"Dari 7 hingga 14 Jun, OCHA (Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan) telah mengetuai penilaian kemanusiaan di empat tapak pemindahan di selatan Gaza; Deir al Balah, dua di Khan Younis dan dua di kawasan Al Mawasi di Rafah," kata Haq.

Timbalan Jurucakap PBB itu berkata akses kepada air adalah kritikal, dan orang ramai terpaksa beratur untuk tempoh yang lama untuk mengumpulnya dan terpaksa bergantung kepada air laut untuk kegunaan domestik.

"Banyak isi rumah melaporkan hanya makan sekali setiap hari, dengan ada yang makan sekali setiap dua atau tiga hari, kebanyakannya bergantung pada roti, perkongsian makanan dengan keluarga lain dan stok catuan," katanya.

Lebih 37,350 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Oktober lepas kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 85,400 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA