AMERIKA SYARIKAT (AS) bukan hanya sebuah negara, tetapi ia adalah sebuah ‘mesin’ yang menghasilkan kekayaan dunia.

Andainya lebih ramai orang menyedari hakikat ini, tentu lebih ramai jutawan akan dilahirkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, hanya dengan menumpang kepada kehebatan dan kekuatan ekonomi AS.

Tidak dinafikan ramai yang skeptikal bahawa ekonomi AS akan merudum akibat perang perdagangan dengan China dan dasar-dasar baharu diperkenalkan pemimpin AS sejak kebelakangan ini dianggap tidak menguntungkan negara itu.

Hakikatnya, dakwaan itu dapat ditepis dengan mudah apabila melihat kepada kedudukan ekonomi dan prestasi pasaran saham AS.

Di sebalik sikap kerajaan AS yang gemar bermain tarik tali dengan rakan dagangnya sejak 2016, Dow Jones pada bulan lalu mencatatkan prestasi terbaik untuk bulan Jun sejak 1938 dengan peningkatan sebanyak 7.2%. Indeks S&P 500 merekodkan prestasi separuh tahun pertama yang terbaik sejak 1997 dan dilihat akan mencecah paras tertinggi dalam sejarah.

Ini menunjukkan bahawa kepercayaan pelabur terhadap ekonomi AS tertanam di dalam keupayaan syarikat negara itu dan kuasa pengguna, bukannya semata-mata dipengaruhi oleh dasar kerajaan yang berubah-ubah.

AS juga mengekalkan kedudukannya sebagai ekonomi terbesar dunia dengan penghasilan barangan dan perkhidmatan bernilai US$20.4 trilion pada 2018, menurut data daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 5.15% berbanding US$19.4 trilion pada tahun sebelumnya. Ia jauh meninggalkan China di tempat kedua (US$14 trilion) dan Jepun di tempat ketiga (US$5.1 trilion).

California lebih kaya daripada Britain

Secara keseluruhannya ekonomi dunia bernilai US$80 trilion pada 2018, bermakna ekonomi AS merangkumi satu perempat daripada ekonomi dunia. Bayangkan, sebuah negara mampu menguasai 25 peratus daripada kekayaan dunia.

Malah, negeri-negeri di AS mempunyai nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) hampir sama dengan sesebuah negara. California, contohnya, adalah negeri yang mempunyai GDP tertinggi di AS, bernilai US$2.97 trilion pada 2018. Jumlah itu lebih tinggi daripada Britain yang memiliki GDP berjumlah US$2.81 trilion bagi tahun yang sama.

Menariknya, Britain memerlukan 14.5 juta pekerja – 75 peratus lebih tinggi daripada yang digunakan oleh California – untuk menghasilkan ekonomi seperti itu. Jika California adalah sebuah negara, ia akan menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia.

Sementara itu, Texas yang terkenal menerusi cerita koboi dan gangster mempunyai GDP bernilai US$1.78 trilion, tinggi sedikit daripada Kanada (US$1.73 trilion) dan GDP New York pula (US$1.70 trilion) hampir sama dengan Korea Selatan (US$1.66 trilion).

Malah Wyoming, negeri paling kecil di AS dari segi jumlah penduduk (600,000 orang) mempunyai GDP bernilai US$41 bilion iaitu hampir sama dengan Jordan, negara yang mempunyai sembilan juta penduduk.

Sebagai sebuah negara, AS menawarkan pasaran pengguna terbesar di dunia kerana kuasa membeli yang tinggi dan jumlah penduduk mencecah 325 juta orang. Perbelanjaan isi rumahnya adalah yang tertinggi di dunia, merangkumi hampir satu pertiga daripada perbelanjaan isi rumah global.

Ekonomi Amerika kebal?

Sejak 100 tahun lalu, ekonomi AS berdiri teguh di atas pasaknya. Setiap kali dilanda kegawatan ekonomi termasuk The Great Depression – kegawatan ekonomi paling buruk pernah dihadapi dunia pada 1929 – AS bingkas bangun. Setiap kali itu juga, graf pertumbuhan ekonominya melonjak.

Apa yang menjadikan AS begitu berjaya dan seolah-olah kebal dalam melebarkan empayar ekonominya? Antara faktor utama ialah budaya keusahawanan yang berkembang mekar di seluruh negara itu, keberanian mengambil risiko, keterbukaan masyarakat dalam menerima kegagalan dan penubuhan universiti berasaskan penyelidikan yang unggul.

Gabungan kesemua faktor ini melahirkan tenaga kerja kreatif dan berkemahiran tinggi yang menghasilkan produk untuk kegunaan di seluruh dunia – Amazon, Facebook, Google, aset pertahanan, pesawat komersial, pakaian berjenama, filem Hollywood dan pelbagai lagi.

Kejayaan luar biasa syarikat AS membolehkan penduduk negara itu menikmati pekerjaan bergaji tinggi yang meningkatkan taraf hidup dan kuasa membeli mereka. Persekitaran kawal selia di sana juga lebih berpihak kepada perniagaan dan kurang membebankan berbanding di negara lain.

Selain itu, sistem politik tidak berpusat yang diamalkan negara itu mendorong negeri-negeri di AS bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan pelaburan dan tenaga kerja melalui pengenalan pelbagai jenis insentif dan peraturan serta rejim cukai yang kompetitif. Inilah antara ramuan rahsia yang digunakan AS dalam membentuk negaranya menjadi pusat ekonomi dunia.

Malaysia boleh tumpang sekaki kekayaan AS

Bagaimana orang lain termasuk rakyat Malaysia boleh menumpang kehebatan ekonomi AS dan menghasilkan kekayaan untuk diri sendiri, tanpa mengira pekerjaan atau status sosial? Cara paling mudah ialah melalui pelaburan saham global.

Pelaburan saham hari ini tidak lagi dihadkan oleh faktor geografi seperti zaman dahulu. Sesiapa sahaja boleh mendapat manfaat daripada perkembangan dan kepesatan ekonomi di negara-negara seluruh dunia melalui pelaburan saham global.

Kesalinghubungan (connectivity) yang terhasil susulan perkembangan teknologi komunikasi memberikan pelabur akses 24 jam kepada berita dan perkembangan global serta meletakkan kekayaan dunia di hujung jari mereka. Jual beli saham global kini boleh dibuat hanya melalui aplikasi telefon pintar.

Pelaburan saham global dapat mempelbagaikan portfolio, merendahkan risiko dan memberikan pulangan lebih tinggi. Tiada pasaran yang lebih baik untuk tujuan ini berbanding AS.

Belajar melabur dalam ‘lubuk emas’ AS

Walaupun kerap diperkatakan bahawa China akan mengambil alih takhta sebagai kuasa ekonomi dunia, sehingga hari ini kekuatan ekonomi AS masih tiada tandingan kerana kepercayaan pelabur terhadap sistem kewangan jitu yang telah ratusan tahun bertapak di negara itu.

Sentimen ini turut dikongsi oleh guru pelaburan saham terkemuka dunia, Warren Buffett.

“Ada sesuatu yang berkesan di sini (AS). Bukannya kami lebih rajin bekerja atau lebih bijak, cuma cara kerja kami mampu mencungkil potensi setiap manusia. Anda tidak perlu pandai kira-kira duit, anda hanya perlu percaya pada Amerika.”

Tentu sekali Buffett tidak bermaksud bahawa pelabur patut membeli saham tanpa sebarang pengetahuan asas. Apa yang dimaksudkannya adalah Amerika akan sentiasa memberikan pulangan jika pelabur bijak memilih saham yang betul.

Jika anda bersedia untuk dibimbing dan ingin tahu bagaimana mengenal pasti saham gergasi di persada dunia yang naik 10 kali ganda dalam masa beberapa tahun untuk memberi anda pulangan yang luar biasa, apa kata anda hadir di lokasi terpilih dengan daftar di www.menangsaham.com.

Tonton rancangan Menang Saham Bersama DDNK pada setiap Isnin di saluran 501 Astro AWANI.


*Datuk Dr Nazri Khan (DDNK) adalah hos Program Menang Saham Bersama DDNK yang disiarkan Astro AWANI dan merupakan pemerhati prestasi saham tempatan dan antarabangsa.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.