Angka kematian akibat kegilaan rejim Zionis juga telah melepasi 11,000 orang termasuk lebih 4,500 kanak-kanak kerana tempat selamat seperti masjid, gereja, pusat media, hospital dan pasar raya kebanyakannya telah dibom.
Akibat diserang dari segenap penjuru dan ketiadaan gencatan senjata, maka tidak hairanlah ramai penduduk Gaza yang tidak berdaya menjadikan platform media sosial seperti X (dahulunya Twitter) dan Instagram sebagai tempat menyuarakan rintihan mereka.
Bagaimanapun, hanya teks, suara atau video mereka sahaja yang 'hidup' kerana orang yang menyiarkannya telah terbunuh dalam serangan udara.
Malah, ramai yang memuat naik gambar atau cerita ringkas di X dan Instagram dengan nota bahawa ia mungkin mesej terakhir mereka.
Haytham Harara, seorang wartawan di pejabat media kerajaan Gaza telah dibunuh pada 3 November lalu dan salah satu mesej terakhirnya dimuat naik di X pada 13 Oktober.
Haytham disahkan meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Al-Shifa, salah satu kemudahan kesihatan terbesar di utara Gaza di mana terdapat beribu-ribu penduduk mendapatkan rawatan dan berlindung daripada pengeboman Israel yang berterusan.
DUNIA HANYA MEMERHATI
Seorang lagi penduduk Gaza, Dr Asmaa al-Ashqar yang bertugas di Hospital Al-Quds merekodkan mesej hanya 24 jam sebelum dia terbunuh dalam serangan udara Israel.
Dalam rakaman suara yang penuh emosi, dia mengatakan bahawa Gaza sedang dihapuskan dan dunia hanya memerhatikan tanpa mengambil sebarang tindakan.
"Kami tidak memerlukan apa-apa daripada anda (negara-negara Arab). Israel memanggil kami haiwan, Biden (Presiden AS, Joe Biden) bercakap tentang kemanusiaan dan mempertahankan Israel tetapi tidak melihat apa yang berlaku kepada kami. Kami dibunuh satu demi satu dan dunia hanya hanya memerhati," katanya.
Di akhir rakaman suara itu, Asmaa berkata: "Siapa yang akan membantu Gaza? Kami hanya ada ALLAH."
GRUP WHATSAPP KELUARGA
Mangsa yang terselamat pula berkongsi tangkap layar mesej terakhir dalam grup WhatsApp keluarga, sekali gus menjadi penawar kesengsaraan akibat kehilangan orang tersayang.
Salah satu tangkap layar grup WhatsApp keluarga yang dikongsi di media sosial telah meruntun hati netizen.
Ia merakam perbualan salah seorang ahli keluarga yang bertanya tentang situasi di bahagian berlainan di Gaza.
"Hanya beberapa orang terbunuh di Al Nakhl, rumah lain telah dibom," menurut mesej tersebut.
Tiada siapa yang membalas mesej yang dihantar Hiba Abu Nada pada 20 Oktober itu.
Hiba meninggal dunia pada tarikh sama tidak lama selepas dia menghantar mesej terakhir dalam grup WhatsApp keluarganya. - Sinar Harian memetik agensi