Kes ini melibatkan lelaki berusia 93 tahun itu menentang tiga anaknya untuk menentukan siapa yang akan mengawal News Corp dan Fox News selepas kematiannya.
Dilaporkan Murdoch ingin meminda amanah keluarga yang diwujudkan pada 1999 untuk membolehkan anak sulungnya, Lachlan, mengambil alih kawalan tanpa "campur tangan" daripada tiga anakya yang lain iaitu Prudence, Elisabeth dan James.
Bagaimanapun, seorang pesuruhjaya mahkamah Nevada memutuskan Murdoch dan Lachlan telah bertindak dengan "niat jahat" dan menggelar usaha itu sebagai "sandiwara yang dirancang dengan teliti", menurut New York Times.
Dalam satu kenyataan, jurucakap bagi Prudence, Elisabeth dan James berkata: "Kami mengalu-alukan keputusan Pesuruhjaya Gorman dan berharap bahawa kami dapat melepasi litigasi ini untuk memberi tumpuan kepada mengukuhkan dan membina semula hubungan dalam kalangan semua ahli keluarga."
Adam Streisand, seorang peguam untuk Murdoch pula memberitahu New York Times, mereka berasa kecewa dengan keputusan itu dan merancang untuk membuat rayuan.
BBC juga telah menghubungi Streisand untuk mendapatkan komen.
Keluarga terkenal itu merupakan salah satu inspirasi di sebalik siri televisyen Succession yang sangat popular - sesuatu yang Murdochs sentiasa enggan mengulas.
Bagaimanapun, menurut laporan New York Times, berdasarkan salinan keputusan mahkamah yang dirahsiakan, anak-anak jutawan itu telah mula membincangkan kematian bapa mereka dan bagaimana mereka akan mengendalikannya selepas satu episod siri HBO di mana "partriak" meninggal dunia, meninggalkan keluarganya dan perniagaan dalam keadaan huru-hara".
Episod itu mendorong Elisabeth menulis "memo 'Succession'" yang bertujuan untuk mencegah perkara ini daripada berlaku dalam kehidupan sebenar mereka, menurut laporan.
Murdoch yang telah berkahwin lima kali juga mempunyai dua orang anak yang jauh lebih muda, Grace dan Chloe, yang tidak mempunyai sebarang hak mengundi di bawah perjanjian amanah.
Kes itu dimulakan selepas Murdoch memutuskan untuk mengubah amanah atas kebimbangan mengenai "kekurangan konsensus" dalam kalangan anak-anaknya, menurut laporan Times.
Lachan dianggap lebih konservatif berbanding adik-beradiknya yang lain dan akan memelihara legasi jenama medianya.
Sejak 1960-an lagi, Murdoch telah membina sebuah gergasi media global dengan pengaruh politik dan awam yang besar.
Dua syarikat yang diasaskannya iaitu News Corporation yang memiliki akhbar termasuk Times dan Sun di United Kingdom dan Wall Street Journal di Amerika Syarikat, sementara Fox pula menyiarkan Fox News.
Murdoch telah mempersiapkan kedua-dua anak lelakinya untuk mengikuti jejak langkahnya sejak mereka masih remaja lagi, kata wartawan Andrew Neil kepada produksi dokumentari BBC 2020 The Rise of the Murdoch Dynasty.
"Keluarga sentiasa menjadi sangat penting bagi Rupert Murdoch, terutamanya dari sudut pandangan membentuk sebuah dinasti," kata bekas editor Sunday Times itu lagi.
Pada 1999, Amanah Keluarga Murdoch, yang memiliki syarikat-syarikat media, sepatutnya dapat menyelesaikan rancangan penggantian secara besar-besaran.
Murdoch juga telah memberikan pelbagai jawatan kepada anak-anaknya dalam syarikat-syarikatnya.
Amanah itu memberikan keluarga itu lapan undi, yang boleh digunakan untuk memberi pandangan mengenai lembaga pengarah News Corp dan Fox News.
Murdoch kini mengawal empat daripada undi tersebut, dengan anak-anaknya bertanggungjawab terhadap satu undi setiap seorang.
Perjanjian amanah itu menyatakan bahawa sebaik sahaja Murdoch meninggal dunia, undinya akan diserahkan kepada empat orang anaknya secara sama rata.
Bagaimanapun, perbezaan pendapat dan pandangan politik dikatakan telah membawa kepada perpecahan keluarga.
Pertempuran untuk mengubah amanah itu bukan mengenai wang, tetapi kuasa dan kawalan ke atas masa depan empayar Murdoch.
Keputusan pesuruhjaya itu bukanlah muktamad, menurut laporan Times.
Pemfailan mahkamah bertindak sebagai resolusi yang disyorkan tetapi seorang hakim daerah masih akan menimbang dan boleh memilih untuk membuat keputusan yang berbeza. - BBC