Penundaan tarikh berpindah ke Ibu Kota Nusantara (IKN) itu, menurut Presiden Joko Widodo (Jokowi) adalah kerana kemudahan penting seperti lapangan terbang belum selesai dibina.
"Lihat keadaan di lapangan, banyak hal belum selesai dibangun, misalnya lapangan terbang," ujar beliau, memetik laporan Kompas.com sewaktu ditemui media di Sleman, Yogyakarta, pada Rabu.
Jokowi antara lain menegaskan bahawa pembangunan lapangan terbang adalah sangat penting lantaran ia menjadi kemudahan utama bagi presiden untuk melakukan kunjungan kerja.
"Kalau sudah berpindah ke sana (Nusantara), semestinya kita hendak ke Papua, Nusa Tenggara Timur, atau Aceh, kita dapat berlepas dari (lapangan terbang) IKN," tambah beliau.
Sehingga kini, lapangan terbang paling hampir dengan zon pembangunan Nusantara adalah terletak di Balikpapan, yang memerlukan akses jalan darat sejauh lebih 80 kilometer untuk sampai ke ibu kota baharu itu.
Pada 17 Ogos lalu, Indonesia menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-79 republik itu secara hibrid, iaitu serentak dilangsungkan di Jakarta dan Nusantara.