Kesalahan menurunkan pemain yang tidak berkelayakan ketika The Cops tewas 2-3 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 15 Februari lalu menyaksikan pasukan itu dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan.
Bukan itu sahaja, PDRM FC turut dikira kalah perlawanan berkenaan dengan keputusan 3-0 serta perlu membayar denda sebanyak RM3,000.
Penganalisis sukan tempatan, Afizal Abu Othman percaya kelemahan komunikasi antara faktor mengurangkan kemeriahan aksi final kedua dan ia perlu diberikan perhatian serius Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Semasa saya bersama Felda United, kebiasaannya FAM akan memaklumkan kepada kelab perkara berkaitan dengan disiplin pemain, contohnya kad merah atau tiga kad kuning.
“Pasukan sepatutnya kena peka dan sentiasa berkomunikasi dengan pihak yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini di FAM.
“Dakwaan menyatakan komisioner perlawanan melepaskan, sebenarnya komisioner perlawanan hanya menerima nama seterusnya menguruskan perlawanan pada masa itu sahaja,” katanya.
Pada aksi final pertama, PDRM telah memasukkan Mohd Safiee Ahmad sebagai pemain gantian pada minit ke-58, sedangkan pemain itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning iaitu pada perlawanan suku akhir pertama menentang Melaka FC dan perlawanan separuh akhir kedua bertemu Kedah Darul Aman FC.
PDRM didapati bersalah kerana melanggar Artikel 57 (berkenaan ketidaklayakkan) yang dibaca bersama Artikel 32 (berkenaan perlucutan hak) dalam Kod Tatatertib FAM.
Pada masa sama Afizal yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya berharap, FAM khasnya Jawatankuasa Tatatertib dapat menyegerakan pemberitahuan mengenai hukuman kepada pasukan pada masa depan.
“Secara peribadi, pemaklumkan keputusan kemenangan 3-0 dihadiahkan kepada Selangor gara-gara PDRM menurunkan pemain yang digantung permainan seharusnya dimaklumkan lebih awal.
“Ini bagi membolehkan pasukan untuk lebih bersedia mental dan fizikal khasnya dalam perlawanan akhir yang berintensiti tinggi,” katanya. - Sinar Harian
