Dalam satu rakaman di media sosial, orang ramai dilihat berkumpul di sekeliling patung bekas Presiden Syria, Hafez Al-Assad, sebelum menumbangkan patung itu sambil disambut sorakan kuat meraikan kejayaan tersebut.
Hari ini, pemberontak Syria mengumumkan sudah menguasai sepenuhnya bandar Homs, hanya selepas sehari pertempuran, sekali gus pemerintahan Presiden, Bashar al-Assad berada dalam keadaan genting ketika pemberontak menuju ibu negara, Damsyik.
Dalam masa sama, ketua pemberontak utama, Komander Hayat Tahrir al-Sham, Abu Mohammed al-Golani, menggelar penguasaan bandar Homs sebagai detik bersejarah dan menggesa pejuang supaya tidak mencederakan mereka yang menyerah diri.
Pemberontak juga membebaskan beribu-ribu tahanan dari penjara bandar, manakala pasukan keselamatan pergi dengan tergesa-gesa selepas membakar dokumen mereka.
Keputusan Homs jatuh ke tangan pemberontak memberikan mereka kawalan terhadap kawasan strategik di tengah Syria serta persimpangan lebuh raya utama, sekali gus memutuskan hubungan Damsyik dengan kawasan pantai yang menjadi kubu kuat puak Alawi pimpinan Assad yang mana lokasi itu merupakan lokasi pangkalan tentera laut dan udara sekutu Assad dari Rusia.
Perang saudara Syria, yang meletus pada 2011 sebagai satu pemberontakan menentang pemerintahan Assad, membabitkan kuasa luar besar, memberi ruang kepada militan jihad untuk merancang serangan di seluruh dunia dan menyebabkan berjuta-juta pelarian memasuki negara jiran.
Pada 29 Nov, kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (dahulunya dikenali sebagai Nusra Front, yang diharamkan di Rusia) bersama beberapa kumpulan bersenjata lain melancarkan operasi besar-besaran terhadap kerajaan Syria, bergerak dari utara wilayah barat laut Idlib ke arah bandar Aleppo dan Hama.
Sehari kemudian, Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria berada di bawah kawalan penuh buat kali pertama sejak konflik bermula pada 2011.
Pada 5 Dis, Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan bahawa angkatan bersenjata Syria telah berundur dari bandar Hama selepas pertempuran sengit.