Presiden China, Xi Jinping berkata, ini termasuk inisiatif Kumpulan Rakan Keamanan (FPG) yang diterajui oleh China, Brazil dan negara-negara selatan global.
“Adalah penting untuk memajukan agenda keamanan BRICS demi mempertahankan keselamatan bersama.
“Manusia dan keselamatan tidak boleh dipisahkan, dan hanya dengan merealisasikan konsep keselamatan bersama, dikongsi, bersepadu dan mampan, akan kita mencapai jalan keamanan sejagat,” katanya.
Xi mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa keutamaan BRICS tidak hanya terletak pada integrasi ekonomi, tetapi keamanan sejagat.
Mengulas lanjut, beliau berkata FPG mempromosikan pengurangan ketegangan di peringkat awal, pengelakan perkembangan konflik ke negara lain, serta provokasi yang memburukkan situasi sedia ada.
“Krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza serta perang baharu yang tercetus di Lubnan adalah peringatan tentang konflik berterusan antara kuasa-kuasa yang terlibat.
“Adalah penting untuk mencapai gencatan senjata dan menamatkan pembunuhan secepat mungkin, dan untuk bekerja tanpa henti bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif, adil dan berkekalan dalam isu Palestin,” katanya.
Katanya, pembangunan yang inklusif dan berkualiti tinggi hanya boleh dicapai sekiranya keamanan sejagat berjaya direalisasikan.
Xi berkata demikian dalam ucapannya di Sidang Kemuncak BRICS di sini hari ini.
Sidang dua hari itu bakal menyaksikan negara anggota BRICS termasuk Rusia, India, China dan Iran antara lain membincangkan agenda pertumbuhan ekonomi dan peluasan keanggotaan blok itu.
Ia merupakan Sidang Kemuncak BRICS pertama yang dihadiri oleh delegasi Malaysia, yang diketuai oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Rafizi bakal mengetengahkan konflik di Palestin dan Lubnan dalam ucapan kenyataan negara pada 24 Oktober ini.