SAMA ada kita mengaku atau tidak, ramai pemerhati geopolitik percaya Amerika Syarikat (AS) sudah "ketinggalan" dalam hal melibatkan imbangan pengaruh kuasa di rantau Asia Tenggara yang menyaksikan Republik Rakyat China (PRC) semakin dominan. 

Begitupun, pentadbiran Presiden Joe Biden yang mengangkat sumpah pada Januari lalu menampakkan kesungguhan untuk sekali lagi mendekati rantau ini, sekali gus menterjemahkan perubahan dalam pendekatan dasar luar White House, lantas menjelmakan semula strategi "Pivot Ke Asia" yang diperkenalkan Presiden Barack Obama pada 2011.

Susulan penyelarasan baharu dalam dasar luarnya itu, AS bukan sahaja melaungkan hasrat untuk memberi fokus kepada integrasi ekonomi antara Amerika Syarikat dan rantau Indo-Pacific, malah kuasa besar itu juga bakal melancarkan strateginya yang tersendiri tentang Indo-Pacific atau 'Kerangka Ekonomi Indo-Pacific', mengekori jejak langkah Kesatuan Eropah yang menerbitkan naskah statetgiknya mengenai rantau Indo-Pasifik baru-baru ini.

Komitmen ini juga terserlah menerusi beberapa kunjungan pegawai-pegawai kanan AS seperti Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo pada 19 November lalu dan Setiausaha Luar Antony Blinken pada minggu ini.

Malah, saya sendiri dijemput untuk mengadakan sesi dialog dengan Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel J Kritenbrink pada awal bulan ini, bersama beberapa pengarang dari media tempatan lain.

Bagi Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, langkah AS ini sudahpun boleh dijangka.

Malah katanya, rantau Asia memang sentiasa disantuni oleh AS walaupun semasa era Trump, tetapi menerusi pendekatan yang berbeza.

"Trump pun serius tentang Asia, cuma Trump cuba menyantuni negara-negara yang 'berseteru' dengan AS seperti Korea Utara dan Rusia. Ini menyebabkan beberapa negara sekutu kecewa dengan pendekatan AS ketika itu," jelas profesor pengajian antarabangsa itu kepada Astro AWANI.

Jelasnya, menerusi Kerangka Ekonomi Indo-Pacific, Biden cuba mencipta semula hubungan ekonomi yang dimulakan oleh Presiden Barack Obama yang cuba mewujudkan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang ditamatkan Trump.

"Biden yakin pengaruh AS masih diperlukan di Asia kerana banyak negara seperti Korea Selatan, Singapura, Malaysia dan Thailand percaya penglibatan langsung AS dalam isu dalam negara ASEAN untuk mengimbangi pengaruh China yang semakin dominan di rantau ini.

'Indo-Pasifik' itu apa?

'Indo-Pasifik' sebenarnya mula diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Jepun Abe Shinzo pada 2007, tetapi menyebutnya sebagai 'broader Asia' yang merangkumi Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Shinzo turut membayangkan rantau dari Afrika hingga ke Asia ini untuk membangun sebagai "kawasan yang menghargai kebebasan, kedaulatan undang-undang dan ekonomi pasaran, bebas daripada paksaan".

Idea ini kemudiannya disambut oleh Presiden Trump sedekad selepas itu (2017), apabila beliau membuat seruan mengenai rantau Indo-Pacific yang bebas dan terbuka.

"Rantau (yang menurut Presiden Trump) di mana negara-negara yang berdaulat dan merdeka, dengan budaya yang pelbagai dan impian yang berbeza-beza, semuanya boleh sama-sama makmur, dan berkembang maju dalam kebebasan dan keamanan," tulis Robert C O'Brien Penolong Presiden untuk Hal Ehwal Keselamatan Negara di akhir penggal Presiden Trump di Pejabat Oval.

Usaha diplomasi yang diusahakan pentadbiran Presiden Biden adalah kesinambungan kepada gagasan yang diterjemahkan oleh Presiden Trump, hasil daripada ilham yang dicetuskan Perdana Menteri Abe sebelum ini.

Menterjemahkan komitmen Washington ke rantau Indo-Pasifik

"Presiden (Biden) telah mengumumkan hasratnya untuk memulakan perbincangan dengan rakan kongsi di rantau ini termasuk Malaysia mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik baharu, yang mana kami berhasrat untuk mengenal pasti beberapa bidang ekonomi dan pembangunan yang krtitikal pada abad ke-21 dengan rakan kongsi di rantau ini," jelas Kritenbrink semasa dialog khas bersama beberapa wartawan baru-baru ini. 

Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel J. Kritenbrink bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Fauzi. - Foto Astro AWANI

(Ia melibatkan) norma dan peraturan yang akan mentadbir aktiviti kita bersama-sama dalam bidang tersebut seperti ekonomi digital, membina rantaian bekalan yang berdaya tahan, tenaga bersih dan ekonomi hijau, jelasnya lagi.

Sementara Mohd Azizuddin pula melihat 'Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik' ini adalah usaha untuk mewujudkan kerjasama dengan lebih erat bersama rakan-rakannya, sekali gus melebarkan pengaruh Washington dan mengimbangi pengaruh China yang semakin dominan di rantau ini termasuk di Laut China Selatan.

"AS juga ada kepentingan di Laut China Selatan," katanya.

Perairan yang dikongsikan dengan sembilan negara (tidak termasuk Taiwan) ini menyaksikan AS$5.3 trillion nilai perdagangan melaluinya setiap tahun. Ia mewakili 60 peratus perdagangan maritim dunia atau 22 peratus daripada keseluruhan perdagangan dunia.

Maka, sebarang risiko ke atas kawasan perairan ini sememangnya mengundang kegusaran AS, malah AS tidak langsung berselindung untuk berkongsikan kegusaran mereka itu.

"Peningkatan ketenteraan China membimbangkan kami (AS) termasuk kekurangan ketelusan dan pelbagai aspek program pembangunan ketenteraan China," jelas Kritenbrink.

"Tetapi yang paling membimbangkan kami ialah tingkah laku China di rantau ini yang kami dapati amat menggusarkan termasuk langkah agresifnya di Laut China Selatan dan Laut China Timur yang dibuat untuk meluaskan tuntutan wilayah China secara agresif dan menjejaskan kedaulatan rakan kongsi kami di rantau ini," tambahnya.

"Kami juga khuatir dengan langkah yang diambil oleh China yang menggunakan paksaan ekonomi untuk memajukan tuntutannya dan untuk menghukum negara-negara yang China menyinggung perasaannya," tegas diplomat itu lagi.

Bagaimana Malaysia harus main peranan dalam 'Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik'?

"AS mahu kita jadi rakan dagang dan rakan strategik kepadanya dan kerangka ini dapat menjadi platform percambahan ekonomi AS dengan negara di Asia Pasifik dan Asia Tenggara untuk mengembangkan pengaruhnya," terang Mohd Azizuddin.

Bagi Mohd Azizuddin juga, Malaysia merupakan rakan yang sangat penting buat AS kerana negara kita berkongsi nilai demokrasi yang sama menyebabkan negara itu selesa untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang lain juga, selain bidang perdagangan.

"AS mahu pastikan Malaysia akan terus bersamanya dalam apa sahaja isu dan pendekatan politik yang akan dibawa negara dalam era (Biden) ini," katanya.

Malah perjumpaan antara Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Blinken pada Rabu bakal merintis jalan kepada lebih banyak dialog antara AS dan Malaysia di pelbagai peringkat.

Mohd Azizuddin turut menjangkakan selain Malaysia, Washington juga akan memperhebatkan dialog terutamanya dengan Indonesia dan Filipina untuk pastikan bahawa pengaruhnya kekal kuat dan ketiga-tiga negara yang banyak berkongsi nilai serupa ini akan terus dapat kerjasama dalam segala segi dan ia tidak terhad kepada isu ekonomi semata-mata.


* Shafizan Johari merupakan editor perancangan hadapan Astro Awani dan pelajar sarjana sejarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.