Menurut Pesuruhjaya Pembangunan Guangdong-Hong Kong-Macao Greater Bay Area, Maisie Chan, konsep “satu negara, dua sistem” yang memberi kedudukan istimewa Hong Kong sebagai pintu masuk antarabangsa ke GBA, membolehkan perniagaan Malaysia memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat ini.
"Di bawah kedua-dua sistem yang ditetapkan, Hong Kong menikmati dasar-dasar yang mengutamakan atau memberi keistimewaan dari kerajaan pusat, yang memudahkan akses syarikat, bakat, dan profesional Hong Kong ke dalam Greater Bay Area (GBA)
"Sebagai 'orang tengah', Hong Kong mendapat sokongan kukuh negara, serta memainkan peranan sebagai penghubung utama dan pemangkin nilai antara tanah besar China dan seluruh dunia," kata Maisie.
GBA yang meliputi sembilan bandar di wilayah Guangdong, bersama dengan Hong Kong dan Macao, dijangka berkembang pesat menjadi hab ekonomi global utama.
Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka melebihi AS$1.6 trilion menjelang 2030, GBA berpotensi menjadi salah satu kawasan ekonomi terkemuka di dunia, menyamai kejayaan Lembah Silikon di Amerika Syarikat.
Katanya, skala dan perkembangan ini memberikan syarikat-syarikat Malaysia peluang unik untuk memanfaatkan infrastruktur moden, sistem perundangan yang kukuh, serta pasaran kewangan yang dinamik di Hong Kong.
Selain itu, Ketua Pengarah Promosi Pelaburan di InvestHK, Alpha Lau, menekankan kepentingan Hong Kong sebagai batu loncatan utama bagi syarikat-syarikat asing untuk memasuki dan berkembang di pasaran GBA.
Dengan dasar yang menyokong dan persekitaran perniagaan yang bersifat antarabangsa, Hong Kong menawarkan ekosistem yang ideal bagi syarikat Malaysia untuk berkembang di Tanah Besar China.
"Pasaran Greater Bay Area (GBA), dengan populasi seramai 87 juta orang, merupakan pasaran yang amat penting bagi syarikat-syarikat yang ingin memasarkan produk mereka bukan sahaja di GBA, tetapi juga sebagai laluan untuk memperluas jualan ke seluruh China.
"Bagi pelabur, GBA bukan sahaja menawarkan peluang jualan produk tetapi juga membuka ruang pelaburan yang luas, termasuk dalam sektor-sektor seperti hotel dan aset berwujud lain," kata Alpha.
Katanya lagi, dalam usaha memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan China dan negara-negara ASEAN, GBA dilihat sebagai lanjutan semula jadi bagi hubungan perdagangan ini.
Di samping itu, kerajaan Malaysia secara aktif menyokong inisiatif yang memudahkan perniagaan tempatan dalam pengembangan antarabangsa mereka, dengan jarak yang dekat antara Malaysia dan Hong Kong menjadikan logistik dan kemasukan ke pasaran lebih mudah.
Seminar bertemakan “The Greater Bay Area and Hong Kong” ini menarik lebih 140 peserta dari kalangan komuniti perniagaan Malaysia.
Acara ini dianjurkan bersama dengan Persatuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia (ACCCIM) dan diadakan ketika komuniti perniagaan Malaysia semakin giat mencari peluang di pasaran luar selain eksport tradisional, dengan China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.