KETUA Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengalu-alukan pelan gencatan senjata kekal dan pembebasan tawanan yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Dalam catatannya di Platform X, Antonio Guterres berkata sudah tiba masanya untuk perang antara Israel dan Hamas yang berpanjangan ini dihentikan.

"Kita telah menyaksikan terlalu banyak penderitaan dan kemusnahan di Gaza. Tiba masanya untuk semua ini dihentikan.

"Saya mengalu-alukan inisiatif Biden dan menggalakkan semua pihak ambil peluang ini untuk melaksanakan gencatan senjata, membebaskan semua tebusan, menjamin akses kemanusiaan tanpa halangan dan akhirnya satu keamanan yang kekal,"katanya.

Biden pada Jumaat menyeru Hamas supaya bersetuju dengan tawaran baharu daripada Israel untuk pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata Gaza.

Biden sifatkan ini adalah cara terbaik untuk mengakhiri konflik yang berpanjangan.