NEW YORK: Gabungan 104 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Kesatuan Afrika pada Jumaat mengecam keputusan Israel untuk mengisytiharkan Setiausaha Agung Antonio Guterres sebagai "persona non grata."

Menurut Agensi Anadolu, kumpulan itu menyuarakan sokongan padu kepada Guterres dalam satu kenyataan.

Kenyataan yang ditandatangani oleh negara-negara itu, termasuk Turkiye, mengkritik keputusan Menteri Luar Yisrael Katz dan berhujah bahawa melabelkan Guterres sebagai "tidak diingini" menjejaskan mandat PBB.

"Di Asia Barat, ini boleh melambatkan lagi penamatan semua permusuhan dan mewujudkan laluan yang boleh dipercayai ke arah penyelesaian dua negara, dengan negara Palestin dan Israel hidup berdampingan dalam keamanan dan keselamatan, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan," menurut kenyataan itu.

Menurut kumpulan itu, 104 negara berkenaan mengesahkan semula sokongan penuh dan keyakinan terhadap ketua PBB serta usaha beliau.

"Kami yakin dengan komitmennya terhadap keamanan dan keselamatan, serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa termasuk dalam menggalakkan penghormatan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi PBB yang berkaitan mengenai situasi di Asia Barat," katanya.

Kumpulan itu turut menggesa semua pihak untuk menghormati kepimpinan PBB dan misinya.

"Kami menyeru semua pihak untuk mengelakkan tindakan yang boleh melemahkan peranan penting PBB dalam penyelesaian konflik dan sebaliknya menyokong inisiatif yang menyumbang kepada penyelesaian krisis Asia Barat secara aman dan berkekalan," tambah kenyataan itu.

Israel baru-baru ini mengisytiharkan Guterres sebagai "persona non grata" dan menghalang beliau daripada memasuki Israel. Keputusan itu dibuat susulan desakan Guterres untuk segera meredakan ketegangan di Asia Barat.

Israel menuduh Guterres gagal menyebut nama Iran secara khusus atau mengecam Tehran atas dakwaan penglibatannya dalam serangan roket baru-baru ini.

Guterres mengutuk peningkatan keganasan di Asia Barat dan menggesa gencatan senjata segera tetapi tidak secara langsung merujuk kepada peranan Iran.

-- BERNAMA