Ringkasan AI
- Setiausaha Agung PBB Antnio Guterres menggesa negara-negara untuk menambah pembiayaan kepada Dana Kerugian dan Kerosakan, yang ditubuhkan untuk membantu negara pulau kecil yang paling terjejas oleh perubahan iklim.
- Guterres menekankan bahawa negara kepulauan kecil mengalami kesan paling buruk akibat bencana iklim, walaupun mereka paling sedikit menyumbang kepada perubahan iklim. Beliau menyatakan modal awal US$700 juta masih tidak mencukupi, dan negara maju harus memenuhi komitmen untuk menyediakan US$40 bilion setahun.
- Menyentuh contoh kerosakan yang dialami oleh Vietnam akibat Taufan Yagi, Guterres mengakhiri dengan menyeru tindakan segera dan komitmen negara-negara untuk menangani krisis iklim demi keadilan global.
Dalam ucapannya di salah satu sesi mesyuarat tertinggi di COP29, Guterres mengingatkan dunia kini berhadapan dengan ancaman perubahan iklim yang semakin serius dengan rekod suhu tertinggi yang dicatatkan baru-baru ini.
"Bencana iklim semakin bertambah, memberi kesan paling teruk kepada negara-negara yang paling sedikit menyumbang kepada masalah ini seperti negara kepulauan kecil.
"Namun negara yang paling banyak merosakkan alam sekitar terus meraih keuntungan besar khususnya daripada industri bahan bakar fosil.
"Penubuhan Dana Kerugian dan Kerosakan adalah satu kemenangan untuk negara-negara membangun dan bagi keadilan global, tetapi modal awal sebanyak US$700 juta yang disediakan kini masih jauh daripada mencukupi untuk memperbaiki kerosakan yang telah berlaku," ujar Guterres.
Guterres turut meminta negara maju untuk menepati komitmen mereka untuk membiayai sekurang-kurangnya US$40 bilion setahun menjelang tahun depan.
"Jumlah dana yang telah dijanjikan menyamai gaji 10 pemain bola sepak termahal dunia, kita harus serius dengan komitmen untuk dana kerugian dan kerosakan ini," katanya.
Sambil memberikan contoh kerugian besar yang dihadapi Vietnam akibat Taufan Yagi pada September lalu, Guterres menegaskan dana itu tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.
"Kerajaan-kerajaan perlu bertindak sekarang demi keadilan," katanya mengakhiri ucapan dengan seruan agar negara-negara komited untuk memenuhi tanggungjawab mereka dalam menangani krisis iklim global.
Negara-Negara Pulau Kecil yang Sedang Membangun (SIDS) adalah kumpulan khusus yang terdiri daripada 39 negara dan 18 Ahli Bersekutu suruhanjaya serantau PBB yang menghadapi kerentanan unik dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Antara keanggotaannya terdiri daripada Haiti, Cuba, Maldives, Samoa, Fiji, Timur Leste dan Singapura.