BEIRUT: Penduduk Lebanon menyaksikan ucapan pemimpin Hizbullah di negara itu, Sayyed Hassan Nasrallah yang bersumpah membuat tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Israel Haniyeh.

Nasrallah mewakili kumpulan Hizbullah memberi amaran kepada Israel bahawa pihak sana tidak tahu sejauh mana mereka telah melepasi garis merah.

Beliau turut memberi amaran permintaan untuk tiada tindak balas daripada kumpulan itu akan sama sekali ditolak.

Dalam pada itu, penduduk di Beirut berharap akan ada pembalasan sewajarnya atas tindakan kejam Israel yang membunuh pemimpin Hamas dan Hizbullah. 

"Insya-Allah, balasan yang kuat menanti mereka (Israel). Insya-Allah kita akan menang ke atas Yahudi (merujuk kepada Israel) dan Amerika.

"Akan ada balasan, tidak ada keraguan mengenainya. Mengenai masa, ia kembali kepada pemimpin Hizbullah, kita tidak tahu bila mereka akan bertindak balas.

"Insha Allah balasan akan mengikut keinginan kita dan keinginan mereka, tetapi kita tahu bahawa pada masa-masa ini, al-Sayyed akan hanya bekerja dengan fikiran kebijaksanaan dan kesabaran," kata penduduk Beirut, Talea El Derany.

Mayat Komander tertinggi Hizbullah, Fuad Shukr ditemui di bawah runtuhan bangunan akibat serangan oleh tentera Israel di selatan Beirut pada Khamis.

"Fuad mati syahid dalam perjalanan ke Baitulmaqdis", kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Hanya beberapa jam selepas pembunuhan Shukr, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, dibunuh di ibukota Iran, Tehran.