Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama Agenda AWANI susulan penggulungan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di sini hari ini.
“Mesej (neutraliti) ini sebenarnya sangat penting dan menjadi asas kepada hubungan diplomatik dan dagangan kita dengan sesiapa pun di dunia ini.
“Yang perlu kita pastikan adalah supaya kita berpegang kepada beberapa prinsip penting yang berasaskan kepada peraturan antarabangsa,” katanya.
Rafizi berkata tidak timbul kebimbangan mengenai kemampuan Malaysia untuk mengekalkan keseimbangan dalam polisi luarnya.
“Isunya adalah kalau kita tidak konsisten. Apabila kita dilihat menjalin hubungan yang baharu, maka kita beralih dan ia menjadi zero-sum game.
“Kalau kita beralih ke sebelah kanan, yang sebelah kiri tak merasa. Kalau kita kekal di kiri, yang di kanan kita ketepikan.
“Tapi itu bukan pendekatan kita. Pendekatan kita ialah kita nak membina dan membangunkan hubungan dagang dengan semua,” ujarnya.
Walaubagaimanapun katanya, ini tidak bermakna Malaysia bersetuju seratus peratus dengan pendirian semua rakannya, contohnya dalam isu kekejaman Israel di Asia Barat.
“Jadi itu (isu Asia Barat) disampaikan secara konsisten, baik dengan rakan dagang kita di blok Barat, BRICS, China atau platform-platform lain.
“Bila lebih ramai kawan, kawan masing-masing ada pandangan yang berbeza-beza. Kalau jaga satu kawan, maksudnya jaga hati seorang saja.
“Kalau kena jaga lima kawan baik ni, hati lain-lain, citarasa lain-lain, keupayaan dan kemampuan menangani semua ini adalah sesuatu yang perlu kita ada sebagai sebuah negara yang aspirasinya ingin menjadi negara yang neutral dan rakan dagang baik dengan semua blok di dunia ini,” katanya.
Saksikan temubual penuh bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pasca-Sidang Kemuncak BRICS-16 Isnin ini, jam 8.30 malam, di Astro AWANI.