LOS ANGELES: Anggota bomba menghadapi cabaran besar dalam usaha mereka untuk mengawal kebakaran yang telah memusnahkan kawasan kejiranan Pacific Palisades di Los Angeles.

Walaupun terdapat kemajuan kecil, api yang semakin merebak serta angin kencang masih mengancam komuniti sekitarnya.

Pegawai memberi amaran pada Ahad bahawa angka korban, yang kini mencecah 14 orang berkemungkinan meningkat.

Pesawat digunakan untuk membawa air dan bahan pencegah api di kawasan bukit curam bagi menghalang kebakaran Palisades daripada merebak ke arah timur.

Enam kebakaran besar berlaku serentak sejak Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dengan 16 yang lain masih dilaporkan hilang.

Kebakaran itu dianggap sebagai salah satu bencana alam terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat dari segi kos kerosakan.

Menurut pegawai bomba, kebakaran ini telah memusnahkan atau merosakkan lebih 12,000 struktur.

Sehingga Ahad, lebih 100,000 penduduk Los Angeles County telah diarahkan untuk berpindah, sementara 87,000 lagi menerima amaran pemindahan.

Dalam tempoh 24 jam, kebakaran Palisades telah merebak ke 1,000 ekar tambahan, menjadikan kawasan yang terbakar lebih 22,000 ekar.

Pegawai Cal Fire, Todd Hopkins, berkata api telah merebak ke Mandeville Canyon dan hampir memasuki kawasan Brentwood, yang terkenal sebagai tempat tinggal ramai selebriti.

Perkhidmatan cuaca kebangsaan memberi amaran bahawa angin kuat sehingga 110 kilometer sejam boleh kembali minggu depan, dengan kemuncaknya dijangka pada Selasa.

Presiden Joe Biden mengadakan taklimat maya pada Ahad bersama pegawai utama mengenai usaha menangani kebakaran ini.

Deklarasi bencana besar oleh Biden membolehkan bantuan persekutuan diberikan, termasuk bantuan kewangan kepada mangsa.