Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 2,921 ekar kawasan Pacific Palisades, antara Santa Monica dan Malibu, telah terbakar selepas amaran bahaya kebakaran ekstrem dikeluarkan akibat angin kencang yang melanda kawasan itu setelah cuaca kering berpanjangan.
Api merebak dengan pantas ketika pihak berkuasa memberi amaran keadaan angin yang lebih buruk dijangka berlaku pada waktu malam, menimbulkan kebimbangan lebih banyak kawasan kejiranan mungkin terpaksa dipindahkan.
Menurut Ketua Bomba Los Angeles, Kristin Crowley, pihaknya bersyukur kerana setakat ini tiada kecederaan dilaporkan namun terdapat lebih 25,000 penduduk di 10,000 rumah berada dalam ancaman.
Pasukan bomba menggunakan pesawat untuk menyedut air dari laut dan menjatuhkannya ke kawasan api.
Ketika matahari terbenam di Los Angeles, api yang menjulang tinggi menerangi kawasan bukit menuju ke Topanga Canyon.
Kebakaran turut menjilat beberapa pokok di kawasan Getty Villa, sebuah muzium yang menyimpan karya seni bernilai tinggi.
Walau bagaimanapun, koleksi seni tersebut selamat hasil usaha pencegahan awal seperti membersihkan semak di sekitar bangunan.
Dengan hanya satu jalan utama yang menghubungkan canyon ke pantai, serta satu lebuh raya pantai untuk ke tempat selamat, kesesakan lalu lintas berlaku sehingga ada penduduk terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki.
Sebelum kebakaran bermula, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah mengeluarkan amaran tertinggi untuk keadaan kebakaran ekstrem di kebanyakan kawasan Los Angeles County dari Selasa hingga Khamis.
Amaran itu meramalkan tiupan angin kencang antara 80 hingga 130 kilometer sejam.
Menurut pejabat Los Angeles Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, kombinasi angin kering Santa Ana, kelembapan rendah dan tumbuh-tumbuhan yang kering akibat kekurangan hujan menjadikan keadaan sangat berisiko.
Gabenor California, Gavin Newsom, yang mengisytiharkan darurat negeri berkata, pasukan penyelamat, trak bomba dan pesawat telah diletakkan di kawasan lain di California Selatan sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kebakaran lain.
Angin kencang turut mengganggu jadual perjalanan Presiden Joe Biden, yang terpaksa membatalkan penerbangan dengan Air Force One ke Coachella Valley.
Majlis itu, yang sepatutnya diadakan untuk mengisytiharkan dua monumen nasional baru, ditunda ke tarikh lain di White House.
Pacific Palisades, yang menjadi kediaman ramai bintang Hollywood, turut menyaksikan pelakon James Woods melaporkan beliau berjaya melarikan diri tetapi tidak pasti sama ada rumahnya masih selamat.
Pelakon Steve Guttenberg pula memberitahu stesen televisyen KTLA bahawa beberapa rakannya sukar untuk berpindah kerana jalan raya dihalang oleh kereta yang ditinggalkan.