MONTEVIDEO: Doktor perubatan yang merawat bekas Presiden Uruguay, Jose Mujica memberitahu, hasil pemeriksaan kesihatan terhadap bekas pemimpin yang terkenal dengan gaya hidup sederhana itu mendapati metastasis kanser esofagus mula merebak ke hati. 

Menurut Dr Raquel Pannone, meskipun hasil imbasan sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda kanser merebak, imbasan terkini menunjukkan perubahan yang ketara.

"Kajian imbasan telah dijalankan yang menunjukkan kawasan hati. Inilah perkongsian maklumat terkini, kewujudan imej yang menunjukkan metastasis kanser esofagus ke hati.

"Hasil imbasan imej yang dijalankan beberapa bulan lalu tidak menunjukkan sebarang tanda merebak, hasil terkini menunjukkan tanda berbeza. Itu perubahan dalam 10 hari terakhir ini. Tetapi itu adalah perkembangan biasa seperti yang kita lihat pada pesakit yang berbeza," katanya.

Dalam masa sama, Pannone mengelak daripada memberikan jangka masa hayat Mujica.

Beliau menyebut perjuangan Mujica yang kini mencecah usia 90 tahun, turut berdepan vaskulitis dan penyakit buah pinggang yang teruk.

Mujica yang menyandang jawatan Presiden Uruguay pada 2010 hingga 2015 menjalani gaya hidup sederhana, tidak bermegah dengan harta dan jauh sekali untuk bermewah menjadikan beliau seorang dihormati dan disegani.