JAKARTA: Indonesia secara rasmi melancarkan "Pelan Pencegahan dan Kawalan Kanser Kebangsaan 2024-2034" semasa pembukaan Persidangan Kanser Antarabangsa Indonesia (IICC) 2024 di Bali pada Khamis, lapor ANTARA.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengesahkan bahawa pelan itu adalah perkembangan baharu dalam usaha memerangi penyakit maut berkenaan di Indonesia.

Beliau menekankan enam strategi utama yang dirumuskan untuk memperkukuh usaha mencegah, mengesan, merawat, dan menguruskan kanser.

"Salah satu tumpuan utama pelan ini adalah pencegahan dan pengesanan awal. Kerajaan akan melaksanakan kempen pendidikan secara intensif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan gaya hidup sihat dan pengesanan awal," kata Sadikin dalam satu kenyataan.

Bagi mempercepatkan penemuan kes dan memastikan rawatan kanser yang lebih berkesan, menteri itu berkata kerajaan menyasarkan saringan dan pengesanan awal mencapai 70 peratus melalui saringan kanser serviks menggunakan kaedah IVA bagi wanita berusia 30 hingga 50 tahun.

Selain itu, kerajaan juga akan menjalankan saringan kanser paru-paru dan kanser colorectal dengan sasaran tertentu dalam pelbagai kumpulan umur.

Sadikin turut berkata kerajaan akan meningkatkan saringan awal kanser payudara melalui pemeriksaan klinikal dan USG.

"Kanser adalah penyakit yang sangat ditakuti masyarakat. Sebenarnya, dengan teknologi yang ada sekarang, selagi ia dikesan lebih awal, 90 peratus kes boleh dirawat dan disembuhkan," katanya.

Oleh itu, menteri berkenaan menggesa orang ramai untuk menjalani saringan rutin dan tidak bimbang untuk diperiksa.

"Pencegahan juga ada, contohnya kanser serviks boleh dicegah dengan imunisasi HPV," katanya.

Bagi menyokong rawatan kanser, kerajaan komited menambah kemudahan dan peralatan kesihatan di hospital seluruh Indonesia. Menjelang 2027, peralatan diagnostik tambahan seperti 276 mamogram, 236 imbasan CT, 34 SPECT-CT, dan lapan PET-CT akan disediakan.

Selain itu, Sadikin berkata kerajaan akan meningkatkan keupayaan hospital di 514 daerah dan bandar serta 38 wilayah untuk menyediakan perkhidmatan kanser yang lengkap, termasuk penjagaan paliatif.

Beliau berharap dengan pelan komprehensif ini, Indonesia dapat menjadi contoh dalam kawalan kanser di peringkat serantau dan global.

-- BERNAMA