LONDON: Rawatan kanser Raja Charles menunjukkan perkembangan positif dan akan diteruskan ke tahun hadapan, menurut sumber Istana Buckingham pada Jumaat.

Pada Februari lepas, istana mendedahkan bahawa pemerintah berusia 76 tahun itu, yang menaiki takhta pada 2022, telah disahkan menghidap kanser yang tidak dinyatakan jenisnya selepas dikesan melalui ujian berikutan satu prosedur pembedahan untuk prostat yang membesar.

Baginda kembali melaksanakan tugas rasmi pada April.

"Rawatan baginda bergerak ke arah positif, dan sebagai keadaan yang diuruskan, kitaran rawatan akan diteruskan ke tahun depan," kata sumber istana itu.

Pasukan perubatan Raja Charles sentiasa memantau dengan teliti jadual acara rasmi baginda sejak kembali kepada tugas awam.

Sumber istana itu juga menegaskan tiada perubahan dalam kesihatan Raja Charles, dan berita bahawa rawatan baginda akan diteruskan ke 2025 tidak membawa sebarang perkembangan terkini yang ketara.

Pada Oktober, Charles dan Permaisuri Camilla singgah sebentar di India untuk mengunjungi sebuah pusat kesihatan holistik selepas keberangkatan pertama Pemerintah United Kingdom itu ke Australia dan Samoa sejak disahkan menghidap kanser.

-- REUTERS