CANBERRA: Penyelidikan terkini di Australia mendapati terdapat kaitan antara pemilihan diet yang tidak sihat dengan risiko kanser yang boleh membawa maut, lapor Xinhua.

Menerusi dua kajian baharu yang dijalankan oleh penyelidik dari Flinders University di Australia mengukuhkan bukti sedia ada bahawa diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, ikan, kekacang dan produk tenusu dapat melindungi daripada risiko kanser gastrousus (GI).

Di tengah-tengah peningkatan kes kanser usus dalam kalangan individu berusia bawah 50 tahun, penyelidik menggesa orang ramai untuk meningkatkan pengambilan serat dan memperbaiki tabiat pemakanan mereka.

"Kami mendapati bahawa diet yang tinggi dengan lemak sihat dan sayur-sayuran, sambil mengehadkan pengambilan gula dan alkohol berpotensi mengurangkan risiko kanser usus dan jenis kanser lain," kata pengarang kanan penyelidikan dari Flinders Health and Medical Research Institute (FHMRI), Yohannes Melaku dalam satu kenyataan media.

"Corak pemakanan tidak sihat yang mengutamakan pengambilan daging merah dan daging terproses, makanan segera, alkohol dan minuman manis, menunjukkan kaitan yang membimbangkan dengan peningkatan risiko kanser GI."

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser GI yang merangkumi kanser usus, kolon, perut dan pankreas, menyumbang 26 peratus daripada kes kanser global dan 35 peratus daripada kematian berkaitan kanser.

Penyelidikan baharu itu juga mendapati makanan kaya serat dapat merangsang pertumbuhan bakteria usus yang sihat yang dapat mengurangkan keradangan.

Kajian juga menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan diet sihat yang menghidap kanser GI mempunyai hasil yang lebih baik berbanding mereka yang mengamalkan diet tidak sihat.

Melaku berkata penemuan ini menunjukkan bahawa pilihan pemakanan yang sihat adalah langkah proaktif penting untuk melindungi kesihatan jangka masa panjang. - BERNAMA