TOKYO: Jepun akan mengharamkan penggunaan ganja dan membenarkan produk perubatan yang menggunakan bahan diperoleh daripada tumbuhan itu di bawah semakan undang-undang berkaitan yang berkuat kuasa pada 12 Dis, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik Kementerian Kesihatan pada Khamis.

Walaupun pemilikan dan penanaman ganja sudah diharamkan di Jepun, negara ini juga akan melarang penggunaannya dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi kesalahan terbabit.

Ketika ini, Jepun tidak mengenakan hukuman bagi penggunaan ganja, sebahagiannya untuk melindungi petani yang mungkin secara tidak sengaja menyerap bahan ganja ketika menanamnya untuk kegunaan produk hem.

Namun, Jepun mengubah pendiriannya di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat bahawa ketiadaan larangan penggunaan mendorong penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda.

Jepun juga akan membenarkan penggunaan produk perubatan yang diperoleh daripada ganja. Ubat yang dibuat daripada tumbuhan ganja ketika ini hanya dibenarkan dalam ujian klinikal.

Bagaimanapun, kumpulan pesakit telah menyeru agar ubat cannabidiol yang diperoleh daripada ganja dapat diakses, yang telah pun diluluskan di Eropah dan Amerika Syarikat untuk merawat keadaan seperti epilepsi yang teruk.

-- BERNAMA