Jiji Press melaporkan bahawa walaupun sejumlah sekitar 60,000 tan air dirawat telah dilepaskan daripada loji di timur laut Jepun yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, setakat ini tiada isu mengenai tahap tritium yang dilaporkan di perairan berhampiran.
Dengan sekitar 1.31 juta tan air dirawat masih disimpan di loji tenaga di Wilayah Fukushima, proses pelepasan air dijangka mengambil masa kira-kira 30 tahun untuk diselesaikan.
Sebelum dilepaskan, air dirawat atau air sisa yang telah dibuang bahan radioaktif selain tritium, dicairkan dengan air laut supaya kepekatan tritium berada di bawah had keselamatan 1,500 becquerel seliter.
Negara itu kini sedang melepaskan kumpulan kelapan air dirawatnya.
Sebagai tindak balas kepada tindakan Jepun memulakan pelepasan air itu pada 24 Ogos 2023, China telah mengenakan larangan menyeluruh ke atas import produk perikanan Jepun. - BERNAMA