SENDAI: Mahkamah Tinggi Sendai pada Rabu mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang menolak permintaan penduduk setempat untuk menghentikan operasi sebuah reaktor nuklear di timur laut Jepun, lapor Kyodo News.

Keputusan itu dibuat susulan penghakiman Mahkamah Daerah Sendai pada Mei tahun lalu yang menolak kebimbangan pihak plaintif mengenai kelemahan dalam rancangan pemindahan kecemasan bagi unit No. 2 loji kuasa nuklear Onagawa di Wilayah Miyagi. Mahkamah menyatakan kebimbangan itu tidak relevan kerana tiada asas untuk mengandaikan yang kemalangan serius mungkin berlaku.

Unit No. 2 itu memulakan operasi semula bulan lepas, menjadikannya reaktor pertama yang beroperasi di timur laut Jepun sejak wilayah itu dilanda gempa bumi dan tsunami dahsyat pada 2011.

Dalam tuntutan mahkamah yang difailkan 17 penduduk bandar Ishinomaki, plaintif berhujah yang rancangan pemindahan disediakan oleh kerajaan bandar dan wilayah adalah tidak mencukupi.

Penduduk mendakwa, sekiranya perintah pemindahan dikeluarkan susulan kemalangan nuklear, mereka tidak akan dapat melarikan diri dari kawasan dalam radius 30 kilometer dari loji itu untuk tempoh yang lama akibat kesesakan lalu lintas, sekali gus meningkatkan risiko terdedah kepada radiasi.

Tiga reaktor nuklear di loji Onagawa dihentikan operasinya selepas dilanda gempa bumi besar pada 11 Mac 2011. Reaktor No. 2 melepasi saringan keselamatan kebangsaan pada Februari 2020 dan kemudiannya memperoleh persetujuan pihak tempatan untuk memulakan operasi semula.

Unit No. 2 juga merupakan reaktor air didih pertama, jenis yang sama seperti reaktor Fukushima Daiichi yang mengalami lebur bahan api semasa krisis nuklear namun dihidupkan semula sejak bencana 2011.

-- BERNAMA