Jurucakap utama kerajaan Yoshimasa Hayashi berkata Jepun "sangat bimbang" tentang keadaan kemanusiaan yang semakin teruk, menggesa semua pihak terlibat supaya menghentikan keganasan, mematuhi undang-undang antarabangsa dan meredakan ketegangan di rantau Timur Tengah.
"Kami memantau perkembangan di Syria dengan kebimbangan yang mendalam.
"Kami sangat berharap agar keganasan akan berakhir secepat mungkin, dan semua rakyat Syria dapat menikmati kebebasan dan kemakmuran" manakala hak asasi manusia dilindungi," kata Ketua Setiausaha Kabinet Hayashi dalam satu sidang media pada Isnin.
Beliau menambah bahawa Jepun akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa untuk membantu menyelesaikan krisis di Syria dan mencapai keamanan serta kestabilan di rantau itu dalam jangka panjang.
Kenyataan beliau dibuat selepas kumpulan anti-rejim menguasai ibu negara Damsyik pada Ahad dan Presiden Bashar al-Assad melarikan diri ke luar negara, menamatkan pemerintahan keluarga Assad yang menjangkau lebih setengah abad. Syria telah dilanda perang saudara sejak 2011.
-- BERNAMA