Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, formula pendekatan ASEAN diperlukan kerana banyak negara litoral yang membuat tuntutan di kawasan tersebut.
“China menyatakan Laut China Selatan itu, biasalah, laut dia. Dia juga kata, (hujah) itu (berdasarkan) undang-undang antarabangsa. Kita (Malaysia) juga kata, kita ikut undang-undang antarabangsa.
“Tetapi, (dalam hal ini, kita boleh berbincang) melalui diplomasi dan saluran diplomatik, supaya pintu (perbincangan) tidak ditutup dan komunikasi tetap berjalan seperti biasa.
“Kita juga minta negara-negara (terlibat) jangan slam the door, (sebaliknya) duduk sama-sama, kerana ia perlu diuruskan menerusi pendekatan ASEAN dan mengikut kaedah sesuatu negara,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada delegasi media Malaysia ketika diminta mengulas mengenai pertemuan ketua negara anggota ASEAN bersama China menerusi Sidang Kemuncak ASEAN-China yang berlangsung di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, katanya, Malaysia berharap agar Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kestabilan di kawasan tersebut.
“Laut China Selatan ini perlu diurus dengan baik kerana ia merupakan suatu kawasan yang diguna pakai oleh semua masyarakat antarabangsa dan negara-negara di ASEAN.
“Jadi, sebarang bentuk untuk memperakukan laut itu kepunyaan satu-satu pihak, itu akan mendatangkan masalah.
“Jadi, Malaysia, tiga tahun dari tahun ini akan jadi sebagai negara penyelaras dengan China. Jadi, tanggungjawab Malaysia untuk uruskan supaya CoC ini dapat kita muktamadkan, kalau boleh, dalam masa kepengerusian kita,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak dalam blok ASEAN menyatakan komitmen dalam kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Ujarnya, ia selaras dengan prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.