Pergerakan pembangkang negara itu menyifatkan tindakan Madoro sebagai satu "rampasan kuasa."
Upacara ini menandakan puncak lebih lima bulan pertikaian mengenai keputusan pilihan raya musim panas yang lalu.
Majlis angkat sumpah berlangsung pada Jumaat di sebuah bilik kecil di Dewan Perhimpunan Nasional, berbeza dengan upacara sebelumnya yang biasanya diadakan di dewan utama bangunan itu.
Maduro mengangkat sumpah di hadapan pemimpin Perhimpunan Nasional, Jorge Rodríguez, yang menyematkan selempang Presiden padanya, disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin.
"Kita telah mencapai apa yang kita tahu akan kita capai," kata Maduro dalam ucapan pertamanya selepas angkat sumpah.
"Kuasa yang diberikan kepada saya bukan daripada kerajaan asing, Presiden asing, atau kerajaan gringo," katanya di acara tersebut, yang turut dihadiri Presiden Nicaragua, Daniel Ortega dan Miguel Diaz-Canel dari Cuba.
"Tiada sesiapa di dunia ini boleh memaksa lantikan Presiden di Venezuela."
China dan Rusia turut menghantar wakil dengan Pengerusi Dewan Negara Rusia, Vyacheslav Volodin, dilihat tiba lewat dalam siaran media rasmi selepas majlis itu bermula lebih awal daripada jadual.
Bekas Presiden Bolivia, Evo Morale yang menyatakan sokongan kepada Maduro menulis di X bahawa negaranya "menyokong rakyat Venezuela yang sekali lagi berjaya menggagalkan usaha untuk menggoyahkan kerajaan mereka."
Maduro telah diisytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Presiden di negara Amerika Selatan itu pada 28 Julai lalu oleh pihak berkuasa pilihan raya yang berada di bawah kawalan ketat Parti Sosialis yang memerintah.
Bagaimanapun, pihak pembangkang Venezuela menerbitkan ribuan borang kiraan undi yang menunjukkan calon mereka, Edmundo Gonzalez, sebenarnya memenangi undian dengan 67 peratus berbanding 30 peratus untuk Maduro.
Beberapa minit selepas pelantikan Maduro, jurucakap Majlis Keselamatan Nasional White House, John Kirby memberitahu wartawan, Maduro "sekali lagi menunjukkan sikap tidak menghormati norma-norma demokratik dan meneruskan pelantikan tidak sahnya pada Jumaat."
González yang berada dalam buangan sejak September telah berjanji untuk kembali ke Caracas minggu ini sebagai cabaran terakhir terhadap pelantikan Maduro.
Namun, rancangan kepulangannya pada hari Jumaat dibatalkan atas alasan keselamatan, menurut Presiden Paraguay, Santiago Peña, kepada Isa Soares dari CNN.
Lokasi terakhir González pada hari Jumaat adalah di Republik Dominica, di mana beliau baru-baru ini bertemu dengan pemimpin serantau.
Tidak lama selepas lantikan Maduro, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan lanjutan Tempoh Perlindungan Sementara selama 18 bulan untuk warganegara Venezuela yang layak serta ganjaran baharu untuk maklumat yang membawa kepada penahanan Maduro dan pegawai-pegawai terdekatnya, termasuk Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello.
Ganjaran untuk Maduro dan Cabello - kini masing-masing berjumlah AS$25 juta – merupakan jumlah maksimum yang dibenarkan di bawah program ganjaran narkotik Jabatan Negara AS, menurut seorang pegawai rasmi.
AS turut mengumumkan sekatan visa baharu untuk pegawai-pegawai yang bersekutu dengan Maduro, yang didakwa bertanggungjawab melemahkan proses pilihan raya di Venezuela, serta sekatan individu terhadap lapan pegawai pro-Maduro yang mengawasi agensi-agensi ekonomi dan keselamatan, termasuk sebuah syarikat minyak milik negara dan Menteri Pengangkutan.
Sementara itu, pada Jumaat, United Kingdom mengenakan sekatan terhadap 15 individu yang berkait dengan Maduro dan apa yang disebutnya sebagai “rejim yang dipertikaikan,” termasuk pemimpin Angkatan Tentera Venezuela dan ahli-ahli Tribunal Keadilan Agung.
Kesatuan Eropah juga mengumumkan sekatan terhadap 15 individu yang berkaitan dengan Maduro, yang didakwa “melemahkan demokrasi, kedaulatan undang-undang, atau hak asasi manusia di Venezuela.”
Di samping itu, Kanada mengenakan sekatan terhadap 14 pegawai kanan semasa dan bekas pegawai yang dikatakan terlibat dalam aktiviti yang “menyokong pelanggaran hak asasi manusia” di negara itu.
“Fasa baharu bermula hari ini”
Maduro tidak menyebut nama mana-mana pemimpin pembangkang Venezuela dalam ucapannya, tetapi merujuk kepada pergerakan yang kini diketuai Maria Corina Machado dan Edmundo Gonzalez sebagai “Guaidó 2.0” - merujuk kepada Juan Guaidó, yang pada 2019 mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden sementara Venezuela dan diiktiraf oleh 50 negara, termasuk AS.
“Seorang Guaidó 2.0 bercakap dengan rakyat di jalanan, seorang Guaidó baharu dan datang dengan beban yang sama. Kita telah melihatnya, kita telah melihat rancangan mereka, kita melihat mereka semalam,” kata Maduro, merujuk kepada satu perhimpunan pembangkang yang dihadiri oleh Machado pada hari Khamis.
Dalam ucapan pada petang Jumaat, Machado tetap tegas, menuduh kerajaan Maduro mencabuli Perlembagaan Venezuela.
"Tekanan akan semakin meningkat sehingga Maduro sedar bahawa ini sudah berakhir," tegasnya.
Guaidó turut mengecam pelantikan tersebut, menulis di platform X bahawa “Presiden Venezuela adalah Edmundo González Urrutia.”
“Maduro hanya mengesahkan perampasannya dan rampasan kuasa yang mereka lakukan pada 28 Julai,” tambah Guaidó.
Gabungan pembangkang Venezuela, Plataforma de la Unidad Democrática, turut menyokong kenyataan Guaidó dengan berkata, “fasa baharu bermula hari ini dalam perjuangan untuk kebebasan Venezuela di seluruh wilayah negara dan dalam semua sektor yang membentuk negara kita.”
Pengarah Americas dari Human Rights Watch, Juanita Goebertus, mengkritik pelantikan Maduro sebagai “kemuncak pilihan raya yang jelas mengabaikan kehendak rakyat dan mengukuhkan kediktatoran yang hanya disokong oleh penindasan kejam.” - Agensi