Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Kedutaannya di sini juga menganggap Amerika Syarikat bertanggungjawab secara langsung dan bersekongkol dalam jenayah antarabangsa dan tindakan pengganas.
Kementerian itu menyifatkan kematian Nasrallah sebagai "syahid" yang terkorban mempertahankan pembebasan Palestin dan Al-Quds, sambil menegaskan kematiannya tidak akan mengganggu perjuangan mereka menentang penjajah pengganas.
Kerajaan dan rakyat Iran akan terus memberi sokongan kepada Palestin dan Lubnan serta seluruh Asia Barat sehingga penjajahan dihentikan dan pemulihan hak untuk menentukan nasib sendiri serta membebaskan Palestin dan Al-Quds.
"Dan tanpa ragu-ragu, tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis dan peningkatan kekejaman dengan membunuh pemimpin penentang akan meningkatkan keazaman negara dan kerajaan Iran untuk menyokong rakyat yang tertindas," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa tindakan berterusan rejim Zionis dalam melakukan jenayah antarabangsa termasuk genosid, jenayah perang dan pencerobohan, menunjukkan bahawa Zionis dan penyokong mereka akhirnya akan dibawa ke muka pengadilan dan tidak akan terlepas daripada hukuman.
"Iran akan menggunakan semua kapasitinya dari sudut politik, diplomatik, perundangan dan antarabangsa untuk menyokong rakyat Palestin dan Lubnan di peringkat serantau dan antarabangsa, serta akan berdiri bersama Palestin dan Lubnan untuk menghukum penceroboh," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kedutaan Iran di Malaysia akan mengadakan majlis doa untuk Nasrallah dan mereka yang terkorban dalam serangan terbabit pada 3 Okt dari 5 petang hingga 7 malam di 105, Jalan Ampang Hilir, Desa Pahlawan, 55000 Kuala Lumpur.
-- BERNAMA