BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses menyiasat sebuah syarikat milik warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi counter setting.


Ringkasan AI
  • SPRM sedang menyiasat sebuah syarikat milik warga Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam sindiket membawa masuk pekerja asing secara tidak sah dengan menyamar sebagai pelancong.
  • Syarikat ini didapati tidak mempunyai sistem yang sah untuk urusan keluar masuk pekerja, dan menggunakan modus operandi 'counter setting' untuk membawa pekerja masuk ke Malaysia.
  • SPRM sedang mengumpul bukti daripada akaun syarikat tersebut untuk menentukan jika terdapat pembayaran kepada pihak berkuasa, dan telah menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh yang disyaki terlibat.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu syarikat ini dikesan membawa masuk pekerja dari Bangladesh secara tidak sah, dengan menyamar sebagai pelancong.

"Terbaharu sekali, ada syarikat yang dimiliki oleh seorang warga Bangladesh yang beroperasi di sini membawa pekerja dengan cara yang kita nampak tidak mematuhi peraturan sedang disiasat oleh kita.

"Kita sedang mendapatkan bukti-bukti daripada akaun-akaun syarikat berkenaan sama ada terlibat dalam mana-mana pembayaran kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 2024, di sini, pada Khamis.

Isnin lalu, media melaporkan SPRM menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Azam berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai sistem bagi sebarang urusan keluar masuk pekerja warga Bangladesh ke negara ini.

"Syarikat ini nampaknya bukan mempunyai apa-apa sistem di Malaysia. Tapi mereka jadi orang tengah dalam membawa pekerja pekerja ke sini dengan pelbagai cara yang kita lihat, antaranya masuk pekerja ke sini sebagai pelancong tetapi masuk ke negara, lesap begitu sahaja.

"Ini satu perkara sukar juga untuk kita buktikan. Untuk kesan dokumen mereka, berapa ramai sudah dibawa masuk.

"Sebab itu tindakan bawa masuk pekerja asing seperti dari Nepal, Vietnam, Thailand, Indonesia, serta Bangladesh perlu menggunakan sistem yang membolehkan kita jejak dan boleh dikesan pekerja yang masuk," katanya.