MAGDEBURG: Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa susulan kejadian rempuhan di sebuah pasar Krismas di Magdeburg, Jerman pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya dua orang terkorban manakala lebih 60 cedera.

Dalam satu kenyataan di X,  Presiden Perancis, Emmanuel Macron menzahirkan rasa sedih terhadap insiden menyayat hati itu.

Perancis berkongsi kesedihan rakyat Jerman dan menyatakan solidariti yang mendalam.

Dalam masa sama, Perdana Menteri Belanda, Dick Schoof, berkata Belanda berdiri "seiring sejalan dengan Jerman dalam fasa sukar ini" serta menambah pihak berkuasa negara tersebut sentiasa memantau perkembangan terkini.

Sementara itu, jutawan Elon Musk, yang dijangka menyertai pentadbiran Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai penasihat luar, menggesa Canselor Olaf Scholz untuk meletakkan jawatan.

Pemandu tersebut disyaki seorang pegawai perubatan dari Arab Saudi telah ditahan manakala pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi bagi Magdeburg dan Jerman secara keseluruhannya.