Indeks harga pengguna (CPI) melonjak 1.54 peratus bulan lepas berbanding tahun sebelumnya, meningkat daripada kenaikan 0.19 peratus pada April, menurut Kementerian Perdagangan.
Inflasi pada Mei kembali berada dalam julat sasaran Bank of Thailand iaitu satu hingga tiga peratus buat kali pertama sejak April 2023.
CPI teras, yang tidak termasuk harga makanan mentah dan tenaga, meningkat 0.39 peratus tahun ke tahun pada Mei, sedikit meningkat daripada kenaikan 0.37 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagi lima bulan pertama 2024, CPI menurun sebanyak 0.13 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Poonpong Naiyanapakorn, Ketua Pengarah Pejabat Dasar dan Strategi Perdagangan kementerian.
Inflasi dijangka meningkat pada kadar yang lebih perlahan pada Jun berikutan langkah kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik, serta penurunan harga produk pertanian berikutan bermulanya musim hujan, kata Poonpong pada satu sidang media.
Beliau juga menyatakan bahawa kementerian mengekalkan unjuran CPI untuk 2024 pada sifar hingga satu peratus.
-- BERNAMA