Diwujudkan pada 1984 di pinggir Ghazipur, tapak pelupusan tersebut mencapai kapasiti maksimumnya pada 2002 dan berkembang menjadi gunung kecil setinggi 72 meter.
Ghazipur menjadi salah satu tapak pelupusan sampah terbesar di dunia, dan terus menerima ratusan tan sampah dari Delhi setiap hari.
Mengandungi lebih daripada 14 juta tan metrik sisa buangan, tapak pelupusan Ghazipur sudah lama menjadi ancaman kepada berjuta-juta penduduk Delhi.
Bau busuk yang dikeluarkan hampir tidak dapat ditanggung, terutama pada musim panas.
Kebakaran sering berlaku, menyebabkan kawasan sekitar dilitupi asap tebal beracun dan cerun curam kadangkala runtuh, menimbus orang serta kenderaan.
Pada September 2017, lebih 50 juta tan sampah runtuh menimbus puluhan orang dan kenderaan.
Manakala, pada April tahun lalu, kebakaran besar tercetus di tapak pelupusan tersebut, menghasilkan asap tebal yang menyebabkan masalah kesihatan dan pernafasan serius di kawasan sekitar.
Dari jauh, tapak pelupusan itu kelihatan seperti bukit semula jadi, malangnya ia merupakan longgokan sampah buangan manusia yang sangat busuk.
‘Everest Sampah’ itu mungkin mengagumkan pada saiznya, tetapi masalah yang ditimbulkan kepada alam sekitar dan penduduk tempatan tidak boleh dipandang ringan.
Walaupun pihak berkuasa tempatan berjanji mengurangkan kesan buruk, Delhi masih menghasilkan lebih 11,000 tan sampah sehari, dengan sebahagian besarnya dibuang di kawasan Ghazipur, gunung sampah India.
